JOHOR BAHRU, 5 Jan (Bernama) -- Penduduk Kampung Melayu Majidi, di sini bakal menerima manfaat Baucar Kasih Johor bernilai RM200 untuk setiap keluarga bermula bulan depan, bagi menggalakkan perbelanjaaan di pasar awam dan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata program rintis itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuh sokongan kepada peniaga tempatan dan ekonomi setempat.
“Program rintis ini perlu disambut dengan komitmen peniaga untuk terus meningkatkan kualiti makanan, persembahan hidangan, kebersihan premis serta layanan kepada pelanggan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata usaha berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam menjadikan medan niaga itu sebagai contoh dan penanda aras pengurusan medan selera yang lebih tersusun, bersih, selesa dan mesra rakyat.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata beliau turut meninjau operasi dan kemudahan medan niaga itu semalam bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Beliau berkata lawatan itu bukan sahaja memastikan kebajikan peniaga dan keselesaan pengunjung sentiasa diberikan perhatian, tetapi juga menjadi platform perbincangan terbuka bersama para peniaga.
“Menerusi lawatan ini kita dapat mendengar sendiri pandangan, cadangan serta cabaran yang dihadapi dalam urusan perniagaan harian,” katanya.
Kerajaan negeri sebelum ini telah melaksanakan usaha bagi menyokong peniaga tempatan di medan niaga itu, termasuk pemberian diskaun sewaan hingga 50 peratus hingga hujung tahun.
Beberapa kemudahan juga ditambah baik seperti pemasangan perangkap lalat dan televisyen, selain menaik taraf aspek kebersihan dan keselesaan di kawasan medan selera.
--BERNAMA
