JENAYAH & MAHKAMAH

PEMILIK KENDERAAN ASING ISI RON95 HADIR KE IPD KULAI BANTU SIASATAN

05/01/2026 07:37 PM

KULAI, 5 Jan (Bernama) -- Pemilik kenderaan asing yang didakwa mengisi minyak RON95 dengan taktik menutup nombor pendaftaran di sini Jumaat lepas telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan  dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya segera untuk arahan lanjut.

"Individu berkenaan seperti mana yang terdapat dalam video (tular melalui laman sosial) merupakan pasangan suami isteri berusia 63 dan 67 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan polis berjaya mengesan dan telah menghubungi pemilik kenderaan berstatus penduduk tetap (PR) yang berada di Singapura itu untuk hadir ke bahagian trafik IPD Kulai segera bagi membantu siasatan. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 30 saat menerusi media sosial memaparkan tindakan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi RON95, yang berjaya dirakam seorang individu.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan di sebuah stesen minyak, susulan aduan dan maklumat yang tular.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo dilaporkan berkata tindakan diambil di bawah Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu larangan penjualan minyak Petrol RON 95 kepada kenderaan pendaftaran asing.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan