AM

PERINCIAN WCE SELATAN DIBENTANG KE PERSEKUTUAN PADA APRIL

06/01/2026 10:59 AM

JOHOR BAHRU, 6 Jan (Bernama) -- Perincian Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang akan mengurangkan kesesakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sedang dimuktamadkan untuk dibentangkan ke peringkat Persekutuan pada April.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata perincian itu membolehkan pelaksanaan dari segi garis masa serta proses perolehan ditentukan.

Beliau berkata kajian kebolehlaksanaan juga telah siap pada Disember lepas menerusi libat urus antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan kerajaan negeri.

“Jika tiada aral melintang, pembinaan WCE Selatan ini akan siap dalam tempoh 48 bulan sebaik sahaja semua proses dimuktamadkan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri turut mencadangkan 13 persimpangan bagi pembinaan projek melibatkan jajaran sepanjang 153.3 kilometer dalam merancakkan ekonomi setempat.

“Jika perlu disusun mengikut keutamaan, kami mencadangkan tujuh persimpangan dibina dahulu antaranya Sungai Terap (Muar), Parit Sulong (Batu Pahat) dan Pekan Nenas (Pontian),” katanya.

Mohamad Fazli berkata lebuh raya itu yang melengkapkan rangkaian serta menghubungkan Banting, Selangor melalui Negeri Sembilan dan Melaka terus ke Lebuhraya Laluan Kedua, Gelang Patah bakal menjadi laluan alternatif yang lebih pantas dan efisien kepada pengguna jalan raya.

Beliau berkata ia sekali gus memperluas akses ke pantai barat Johor serta menyuraikan 27 peratus trafik, iaitu kira-kira 35,000 kenderaan sehari yang masuk dan keluar menggunakan Lebuhraya PLUS, khususnya semasa musim perayaan dan cuti sekolah.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan