KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- My Blockchain Infrastructure (MBI) Sdn Bhd menyokong sistem pengesahan umur yang memelihara privasi menerusi platform Zetrix, bertujuan membantu perkhidmatan media sosial dan pesanan mematuhi keperluan had umur sambil meminimumkan pengumpulan data peribadi pengguna.
Menurut MBI, inisiatif tersebut selari dengan usaha kerajaan di seluruh dunia memperkenalkan peraturan lebih ketat bagi melindungi golongan bawah umur dalam persekitaran dalam talian, selain menangani kebimbangan orang ramai terhadap pengumpulan data berlebihan dan risiko privasi.
Di Malaysia, isu berkaitan kemudaratan dalam talian, keselamatan kanak-kanak dan penggunaan media sosial secara bertanggungjawab rancak dibincangkan susulan pengumuman Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengenai pelancaran industry sandbox pada 1 Jan lepas, bagi menilai penyelesaian jaminan umur termasuk umur minimum 16 tahun untuk penggunaan media sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif MBI Azhar Abu Talib berkata sistem itu membolehkan platform mengesahkan umur pengguna tanpa perlu mengendalikan maklumat peribadi yang sensitif.
“Pengesahan umur perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab. Oleh itu, MBI menyokong kemampuan pengesahan umur ini sebagai pendekatan praktikal yang mengutamakan privasi, sekali gus membantu pengendali platfrom memenuhi keperluan keselamatan dan kawal selia sambil meminimumkan pengendalian data peribadi,” katanya.
Menerusi sistem itu, pengguna dikehendaki melakukan pengesahan identiti sekali sahaja melalui pihak yang diiktiraf kerajaan serta penyedia pengesahan seperti MyDigital ID atau National Integrated Immigration System (NIISe).
Selepas pengesahan, pengguna akan menerima bukti digital umur selamat, yang hanya mengesahkan sama ada mereka memenuhi had umur ditetapkan tanpa mendedahkan maklumat identiti penuh, salinan dokumen pengenalan atau data biometrik.
“Apabila pengguna mendaftar atau mengakses media sosial atau perkhidmatan pesanan, mereka boleh mengemukakan bukti digital umur kepada platform berkenaan. Platform itu kemudiannya dapat mengesahkan sama ada pengguna layak, contohnya “berusia 16 tahun ke atas”, tanpa menerima maklumat peribadi lengkap seperti nama penuh, alamat atau imej dokumen identiti,” menurut kenyataan itu.
Menurut MBI, rekod pengesahan disimpan sebaiknya untuk tujuan jaminan dan audit serta dilindu dengan kawalan akses, manakala data eKYC sensitif yang digunakan semasa pemeriksaan identiti akan dipadam mengikut jadual atau tempoh yang dipersetujui.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI Berhad TS Wong berkata sistem berkenaan mudah diterima oleh platform dan pengguna dengan privasi menjadi keutamaan.
“Zetrix AI akan bekerjasama dengan MBI bagi membolehkan pengesahan boleh dipercayai, mudah diterima platform dan ringkas untuk dilengkapkan pengguna, sambil mengekalkan prinsip privasi dan meminimumkan data,” katanya.
MBI dan Zetrix AI menyeru media sosial dan perkhidmatan pesanan untuk meneroka sistem berkenaan melalui taklimat dan perbincangan, dengan program perintis dan perancangan pelaksanaan disediakan bagi mereka yang bersedia mengguna pakai pengesahan umur.
-- BERNAMA
