PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan OPS KESAN 5.0 bermula 1 Jan lepas untuk memantau dan mengekang aktiviti pencatutan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata operasi berkenaan digerakkan sejajar dengan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 yang turut berkuat kuasa bermula 1 Jan 2026.
Beliau berkata KPDN menggariskan lima pendekatan dalam pelaksanaan OPS KESAN 5.0 antaranya melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang telah bermula pada 1 Julai 2025.
“Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan SSPA,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Azman berkata pendekatan lain ialah mengguna pakai data kutipan harga yang dilaksanakan setiap hari oleh Pegawai Pemantau Harga KPDN meliputi 316 item sebagai panduan pemantauan sebarang pergerakan harga.
Turut dilaksana adalah usaha memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dan menggalakkan penyertaan awam sejajar dengan pelaksanaan KITA GEMPUR iaitu Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan.
“(KPDN) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan termasuk tindakan susulan penguatkuasaan perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam dari masa aduan diterima,” katanya.
Beliau berkata pendekatan lain ialah menyediakan saluran aduan untuk membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat dan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran disediakan.
Antara saluran itu ialah WhatsApp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu http: eaduan.kpdn.gov.my; pusat panggilan 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
Azman berkata pelaksanaan OPS KESAN 5.0 diharap akan dapat mengesan mana-mana pihak yang membuat peningkatan harga dengan tujuan mengaut keuntungan yang berlebihan, sekali gus mengekang aktiviti pencatutan ekoran pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui SSPA Fasa 2 yang telah berkuat kuasa.
Beliau berkata peniaga individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat adalah denda sehingga RM500,000, jika disabitkan kesalahan.
-- BERNAMA
