BERITA TERGEMPAR   The Malaysia Economic Forum 2026 will be held on Feb 5 to strengthen the MADANI Economy narrative, ensuring inclusive and sustainable growth -- Economy Minister | 
 POLITIK

MOHD NAIM AKAN TERUSKAN KESINAMBUNGAN KHIDMAT TERBAIK BN DI KINABATANGAN - AHMAD ZAHID

06/01/2026 05:31 PM

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) menaruh harapan agar kesinambungan khidmat baik parti itu kepada penduduk di Parlimen Kinabatangan, dapat diteruskan oleh Mohd Naim Kurniawan Moktar yang merupakan anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Mohd Naim yang merupakan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan itu, akan meneruskan khidmat terbaik Allahyarham bapanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah kepada penduduk di Kinabatangan.

“Yang penting bagi Parlimen Kinabatangan ialah kesinambungan perkhidmatan terbaik dilakukan oleh Allahyarham Bung Moktar dapat disambung oleh anak beliau, Mohd Naim Kurniawan Moktar,” katanya ketika diminta mengulas persediaan BN bagi menghadapi PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag hari ini.

Ditemui media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini, beliau berkata pendekatan BN ialah memastikan khidmat baik BN dapat diteruskan kepada rakyat di Sabah, yang baru sahaja selesai melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 29 Nov tahun lepas.

Mengenai PRK DUN Lamag pula, Ahmad Zahid berkata BN menawarkan calon bebas Mohd Ismail Ayob yang pernah bertanding pada PRN Sabah yang lepas untuk menjadi calon langsung parti, bagi mengelakkan perpecahan sokongan dalam kalangan masyarakat setempat.

Beliau berkata langkah itu diambil memandangkan Mohd Ismail yang bertanding Bebas pada PRN Sabah yang lepas dan tewas kepada Bung Moktar dengan hanya majoriti 153 undi, diharap dapat meraih kembali meraih sokongan dan menyatukan pengundi BN bagi mengukuhkan peluang kemenangan.

“Kita harap beliau akan dapat menggamit semula penyokong beliau dan mencantumkan pengundi BN, untuk menggarap kemenangan agar perkhidmatan dapat diberikan dengan terbaik,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 10 Jan sebagai hari penamaan calon, manakala 24 Jan sebagai tarikh mengundi bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan penyandangnya Bung Moktar, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Dis.

Warisan memutuskan untuk bertanding pada PRK Parlimen Kinabatangan serta DUN Lamag dan telah menamakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman dan Mazliwati Abdul Malek, sebagai calon mereka.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula telah mengumumkan ia tidak akan meletakkan calon pada PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, sebagaimana dinyatakan oleh Ketua Menteri dan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan