AM

PERKHIDMATAN E2E KERAJAAN CAPAI 80 PERATUS

06/01/2026 06:28 PM

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan perkhidmatan kerajaan secara dalam talian hujung ke hujung atau end-to-end (E2E) mencapai 80 peratus setakat tahun lepas.

Kementerian Digital dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencapaian itu hasil pemantauan berterusan Jabatan Digital Negara (JDN) bagi memastikan tahap kecekapan, keberkesanan dan pematuhan terhadap piawaian pendigitalan yang ditetapkan di semua agensi kerajaan.

Menurut kementerian itu, kerajaan menyasarkan 95 peratus perkhidmatan Kerajaan Persekutuan akan dilaksanakan secara dalam talian menjelang 2030.

“Selain itu, kerajaan juga menyasarkan 100 peratus data Persekutuan didigitalkan berdasarkan pendekatan Whole-of-Government sebagai langkah strategik memperkukuh transformasi digital negara serta meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Kementerian Digital memaklumkan JDN sedang membangunkan dokumen Rancangan Pendigitalan Sektor Awam 2026-2030 yang dijangka siap pada pertengahan bulan ini bagi mempergiat usaha pendigitalan termasuk pada peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Ini termasuk penambahbaikan sistem sedia ada, pemerkasaan penggunaan teknologi baharu, pembangunan modal insan digital serta peningkatan kerjasama strategik antara agensi bagi memastikan transformasi digital sektor awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh, bersepadu dan memberi impak tinggi kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, kementerian itu memaklumkan pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor awam diperkukuh menerusi inisiatif AI@Work dengan setakat Disember lepas, mencatatkan sebanyak 373,346 penjawat awam aktif menggunakannya dan menerima manfaat termasuk peningkatan produktiviti serta kualiti perkhidmatan.

“Usaha ini akan terus diperkasakan secara berterusan tahun ini selaras dengan agenda transformasi digital kerajaan dan menyokong aspirasi perkhidmatan tanpa kertas bagi memastikan teknologi AI dapat meningkatkan prestasi kerja, produktiviti dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Digital menyatakan komitmen untuk memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam serta pemanfaatan AI selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu transformasi digital memberi impak langsung kepada rakyat dan meningkatkan daya saing negara pada peringkat global.

Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat tahun baharu pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri semalam, mengarahkan semua kementerian dan jabatan kerajaan supaya mempercepat pelaksanaan urusan secara dalam talian sebagai sebahagian daripada pembaharuan birokrasi.

Beliau berkata langkah itu perlu dilaksanakan segera bagi menjimatkan masa, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta mengurangkan kerenah pentadbiran yang membebankan rakyat.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan