AM

KESEJAHTERAAN TENAGA KERJA WANITA ANTARA TIGA USUL DIANGKAT PADA SIWANIS 2025/2026

06/01/2026 09:41 PM

SHAH ALAM, 6 Jan (Bernama) -- Kemuncak Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025/2026 hari ini mengangkat tiga usul utama dalam perbahasan iaitu kesejahteraan tenaga kerja, pengukuhan ekonomi penjagaan serta pendidikan yang inklusif kepada rakyat Selangor khususnya kepada golongan wanita dan orang kurang upaya (OKU).

Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Faridah Abdul Samad berkata tiga usul terbabit merupakan keperluan semasa selain membantu memastikan keseimbangan sosioekonomi di negeri itu terus terjamin. 

Beliau berkata usul pertama ialah cadangan mewujudkan sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) integrasi khusus bagi manfaat anak-anak OKU termasuk berkeperluan khas.

“Usul pertama berkaitan pendidikan inklusif menerusi KAFA Integrasi dilihat penting bagi memastikan anak-anak berkeperluan khas tidak tercicir dan terus mendapat akses pendidikan yang sesuai dengan keperluan mereka,” katanya pada Kemuncak SIWANIS 2025/2026 di Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah SabuExco Pembangunan Wanita Dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari serta Speaker DUN Selangor Lau Weng San.

Siti Faridah berkata usul kedua ialah pemerkasaan aturan kerja fleksibel ke arah peningkatan yang inklusif dan menyentuh keperluan mewujudkan aturan kerja anjal.

“Ia bertujuan bagi menyokong wanita yang terlibat dalam sektor penjagaan, agar mereka tidak terpaksa meninggalkan pekerjaan akibat kekangan masa dan ketiadaan fleksibiliti,” katanya.

Usul ketiga ialah pengukuhan infrastruktur ekonomi penjagaan bagi menyokong generasi sandwic serta keluarga berpendapatan dua sumber, sekali gus dianggap tepat pada masanya memandangkan Selangor sedang menuju fasa penuaan penduduk, yang memerlukan ekosistem lebih menyeluruh bagi menyokong keluarga dalam menjaga warga emas.

“Komitmen perwakilan untuk mengangkat usul-usul ini mencerminkan kesungguhan pemimpin wanita dalam memastikan pembangunan sosial negeri yang lebih inklusif, seimbang dan berdaya tahan dengan mengambil kira keperluan setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Anfaal pada sidang media berkata pelaksanaan SIWANIS 2025/2026 mencerminkan komitmen serius Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkukuh penyertaan wanita dalam proses pembuatan keputusan dan kepimpinan awam. 

Beliau berkata langkah berkenaan seiring dengan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2025 serta aspirasi pembangunan yang berteraskan keterangkuman, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat. 

“Terdapat sebahagian besar usul itu kita (kerajaan negeri) akan ambil (untuk diteliti). Ada yang sangat berkualiti. Bagi usul berkaitan pendidikan KAFA integrasi, perkara itu akan diusulkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).  

“Untuk usul aturan kerja fleksibel memang sedang dijalankan satu kajian oleh Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) dan kita akan kembangkan kepada anak syarikat lain di bawah Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Anfaal berkata pada tahun lepas, kerajaan negeri telah melaksanakan Selangor International Care Summit dengan dua aspek daripada lima resolusi akan ditekankan iaitu latihan dan model penjagaan mampan.

“(Resolusi itu) ia bukan teori semata-mata tetapi perlu diangkat menjadi pelaksanaan di bawah dasar dan inisiatif kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Terdahulu menerusi persidangan itu, Kuan Yen Hong daripada Perwakilan S54 Tanjong Sepat meraih Anugerah Perwakilan Terbaik manakala Anugerah Berkumpulan pula diberikan kepada Kumpulan Lima yang membentangkan usul berkaitan Kesihatan Awam dan Ekonomi Penjagaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan