JOHOR BAHRU, 7 Jan (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan zakat wakalah berjumlah RM60,000 bagi bantuan kelengkapan persekolahan 200 pelajar asnaf.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Azrudyn Rashid berkata sumbangan menerusi program UDA Cares; Educational Back to School 2026 itu berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Beliau berkata setiap pelajar menerima peruntukan sebanyak RM300, selain menerima sumbangan beg, alat tulis, pensel warna dan bekas minuman sebagai sokongan menyeluruh terhadap keperluan pembelajaran mereka.
Menurutnya, inisiatif tahunan itu membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan serta memastikan golongan asnaf dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersedia dan berkeyakinan.
"Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan keluarga pelajar asnaf, malah diharap dapat menyuntik motivasi serta keyakinan kepada para pelajar untuk menghadapi sesi persekolahan baharu dengan penuh semangat dan iltizam," katanya ketika ditemui di program berkenaan, hari ini.
Hadir mewakili program tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi UDA Land South Sdn Bhd Muhammad Ismail Dasuki, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan UDA Radziah Mohamed Fadzil dan Ketua Pegawai Operasi UDA Angsana Sdn Bhd Imran Salleh.
Azrudyn berkata pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen berterusan UDA dalam menyantuni komuniti setempat, khususnya masyarakat Bumiputera di kawasan pembangunan syarikat, selari dengan agenda kelestarian dan CSR UDA yang menekankan pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat.
Dalam pada itu, Imran berkata semua penerima adalah pelajar terpilih daripada 10 buah sekolah rendah sekitar wilayah pembangunan UDA, termasuk SK Sungai Danga, SK Kompleks UDA, SK UDA 2, SK Kampung Pasir, SK Pengkalan Rinting, SK Tasek Utara, SK Taman Cempaka, SK Seri Kenanga, SK Seri Melati dan SK Perumahan Tampoi 2.
"Pemilihan pelajar dibuat oleh pihak sekolah sendiri dan kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa," katanya.
Sementara itu, ibu tunggal Roslina Sabri, 44 berkata bantuan tersebut menjimatkan kos untuk kelengkapan persekolahan tiga anaknya yang masih bersekolah rendah.
"Setiap seorang saya kena sediakan sekurang-kurangnya RM1,000 termasuk kelengkapan sekolah, yuran dan lain-lain," kata ibu kepada enam anak itu yang suaminya meninggal dunia akibat strok pada Mac tahun lepas.
Beliau, yang bekerja di bahagian pengurusan mesyuarat pihak berkuasa tempatan, memuji usaha UDA yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk menyediakan keperluan pendidikan anak-anak.
"Saya harap inisiatif baik seperti ini diteruskan supaya lebih ramai lagi yang menerima manfaat," katanya.
-- BERNAMA
