EKONOMI

IHEC 2026 SASAR PELUANG PERDAGANGAN, PENGLIBATAN INDUSTRI HALAL BERNILAI RM500 JUTA

07/01/2026 04:20 PM

BANGI, 7 Jan (Bernama) -- Persidangan Ekonomi Halal Antarabangsa 2026 (IHEC 2026) menyasarkan peluang perniagaan dan penglibatan perdagangan dalam industri halal bernilai RM500 juta.

Acara ini dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 5 Februari, 2026 di Hotel Tenera and Suite, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Pengarah Program IHEC 2026 Datuk Seri Abdul Rani Osman berkata acara ini selaras dengan agenda pembangunan negara memandangkan kemajuan ekonomi halal kekal sebagai keutamaan di bawah kepimpinan MADANI Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan komited sepenuhnya untuk memperkukuh industri halal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi yang merangkumi perdagangan, pelaburan, inovasi dan globalisasi.

"Komitmen ini mencerminkan keazaman Malaysia yang bukan sahaja untuk mengekalkan kedudukannya sebagai hab halal yang dipercayai, tetapi juga untuk mengembangkan pengaruhnya sebagai peneraju pemikiran global dan perintis tadbir urus dalam ekonomi halal,” katanya pada sesi taklimat media berhubung acara berkenaan.

Abdul Rani berkata IHEC 2026 akan berfungsi sebagai platform strategik yang menghimpunkan ahli ekonomi, penggubal dasar, pemimpin industri, ahli akademik, pelabur dan pemain utama daripada ekosistem halal domestik dan antarabangsa.

“Persidangan ini akan memberi tumpuan kepada trend pasaran global dan dinamik pengguna, dengan penekanan khusus terhadap pasaran halal antarabangsa merentasi ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Eropah, China dan Afrika.

“Sepanjang persidangan dua hari itu, 14 panel jemputan akan berkongsi kepakaran merentasi pelbagai sektor ekonomi dan yang berkaitan, termasuk perdagangan antarabangsa, pensijilan dan tadbir urus halal, kewangan Islam, pendigitalan, logistik dan peluang pelaburan global,” tambahnya.

Sebagai pelengkap persidangan itu, malam gala dan majlis pengiktirafan antarabangsa akan diadakan pada 5 Februari sebagai penghormatan kepada penerima Anugerah Halal Antarabangsa.

Tan Sri Dr Yusof Md Noor telah dilantik sebagai Penaung dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur IHEC 2026.

Sementara itu, dalam satu kenyataan WIED Capital Sdn Bhd selaku penganjur acara berkenaan berkata IHEC 2026 akan dijadikan sebagai platform global utama yang didedikasikan untuk membentuk masa depan ekonomi halal melalui dialog strategik, penyelarasan dasar, kerjasama industri dan integrasi pasaran antarabangsa.

Acara ini akan menghimpunkan penggubal dasar global, pemimpin industri, pengawal selia, pelabur, ahli akademik dan inovator dari seluruh ASEAN, GCC, negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Eropah dan pasaran halal yang sedang pesat membangun.

“IHEC 2026 direka untuk menangani transformasi pesat ekonomi halal, yang telah berkembang jauh melangkaui sektor makanan untuk merangkumi farmaseutikal, kosmetik, logistik, kewangan Islam, teknologi digital, pelancongan, kemampanan dan penciptaan nilai yang dipacu oleh aspek-aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Persidangan ini juga akan berperanan sebagai platform dasar strategik, membolehkan kerajaan dan institusi bertukar pandangan mengenai insentif, pemudahan perdagangan dan model tadbir urus yang menyokong pembangunan ekonomi halal yang mampan. Perbincangan pada peringkat dasar ini dijangka menyumbang kepada integrasi serantau yang lebih kukuh dan penyelarasan piawaian halal global yang lebih baik,” menurut kenyataan itu.

Setakat ini, 18 negara telah mengesahkan penyertaan, dengan persidangan dijangka menarik lebih daripada 500 delegasi domestik dan antarabangsa. Selain kehadiran fizikal, IHEC 2026 juga akan disiarkan secara maya kepada penonton di lebih 30 negara, sekali gus memperluas capaian dan impak globalnya dengan ketara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan