AM

ANWAR TERIMA KUNJUNGAN HORMAT SETIAUSAHA INDUSTRI PERTAHANAN TURKIYE

07/01/2026 08:41 PM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

ANKARA, 7 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye Prof Dr Haluk Gorgun, pada hari kedua lawatan rasmi beliau ke republik berkenaan.

Pertemuan itu membuka ruang perbincangan yang konstruktif bagi memperkukuh kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Turkiye, khususnya dalam aspek pembangunan keupayaan, pemindahan teknologi serta latihan dan pembangunan modal insan sebagai teras kelestarian industri pertahanan negara.

Perbincangan turut menyentuh kerjasama sedia ada yang telah terjalin melalui syarikat-syarikat pertahanan kedua-dua negara, dengan penegasan bahawa usaha berkenaan wajar diperkasakan ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh, berlandaskan prinsip saling melengkapi serta manfaat bersama, selari dengan kepentingan keselamatan serantau dan kedaulatan negara.

Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani; serta Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.

Delegasi Turkiye pula dianggotai Menteri Pertahanan Yasar Guler yang juga menteri pengiring, Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) merangkap Pengerusi Majlis Perniagaan Turkiye-Malaysia Dr Mehmet Demiroglu, Pengurus Besar ASELSAN Ahmet Akyol, serta Pengurus Besar Defence Technologies Engineering and Trade Inc (STM) Ozgur Guleruz.

Terdahulu, Perdana Menteri diberi penghormatan melaksanakan istiadat peletakan kalungan bunga di Anıtkabir di sini, yang menempatkan makam Mustafa Kemal Ataturk, tokoh pengasas republik Turkiye.

Anwar turut dibawa meninjau persekitaran kompleks berkenaan, termasuk muzium yang menghimpunkan naratif sejarah, pengorbanan serta visi besar pembinaan negara bangsa republik itu.

“Kunjungan ini memberi ruang renungan yang mendalam tentang makna kepemimpinan, pengabdian kepada tanah air serta pentingnya nilai kenegaraan dalam membina masa depan yang adil dan bermaruah,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Anwar berada di Turkiye bagi lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Anwar turut menerima kunjungan Menteri Luar Republik Turkiye Hakan Fidan, di sini hari ini.

Perdana Menteri dalam kenyataan berasingan berkata pertemuan itu bagi memberi ruang untuk bertukar pandangan terkait landskap serantau dan global, serta memperkukuh asas hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Turkiye.

“Kami menzahirkan iltizam untuk terus memperkasakan hubungan dua hala, khususnya melalui kerjasama erat antara kementerian luar kedua-dua negara, demi memastikan segala potensi kerjasama dapat dimanfaatkan secara strategik dan berterusan,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan