IPOH, 7 Jan (Bernama) -- Tiga pasangan kembar merupakan antara 321 pelajar baharu yang mendaftar di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini bagi sesi akademik 2025/2026.
Pengarah PUO Dr Salmi Che Meh berkata kesemua pelajar berusia 18 tahun berkenaan mendaftar di institusi pengajian tinggi itu pada Ahad lepas.
Beliau berkata pasangan kembar tersebut adalah Muhammad Amir Hakim Suhaimi dan Muhammad Amirul Hakim dari Batu Pahat, Johor, yang akan mengikuti Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Penyamanan Udara dan Penyejukbekuan).
"Pasangan kembar dari Bercham, Ipoh iaitu Kuah Yong Lin mendaftarkan diri sebagai pelajar Diploma Perakaunan dan Kuah Yong Fei pula mengikuti Diploma Kewangan.
"Sementara itu, Amir Iman Amirul Azam dari Setapak, Kuala Lumpur, pula memilih Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Penyamanan Udara dan Penyejukbekuan) manakala kembarnya, Amir Aiman dalam Diploma Pengurusan Peruncitan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Salmi berkata pendaftaran tahun ini melibatkan 185 pelajar lelaki dan 136 pelajar perempuan dari seluruh negara dengan pengkhususan dalam bidang Kejuruteraan (Awam, Elektrik, Mekanikal, Perkapalan), Teknologi Maklumat dan Komunikasi, serta Perdagangan.
“Seiring aspirasi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dan Malaysia MADANI, PUO menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif, inklusif dan menyokong pembangunan sahsiah pelajar secara holistik,” katanya.
-- BERNAMA
