PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Tahun 2026 menjadi tempoh permulaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan tumpuan utama terhadap aspek penterjemahan dasar kepada tindakan sebenar demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir.
Beliau berkata ini juga sejajar dengan pendirian kerajaan MADANI yang kekal komited sepenuhnya untuk memastikan setiap strategi di bawah RMK13 tidak sekadar atas kertas, sebaliknya dilaksanakan secara tersusun, telus dan berimpak tinggi.
RMK13 juga, katanya, adalah milik seluruh rakyat Malaysia dan memerlukan penglibatan semua pihak termasuk kementerian serta keseluruhan jentera kerajaan.
“Kita mahu pelaksanaan ini menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) bersama, termasuk kepada Ketua Setiausaha, timbalan, ketua jabatan dan agensi, malah KPI kepada saya dan Timbalan Menteri (Datuk Mohd Shahar Abdullah).
“Saya berharap tahun ini kita akan terus membawa perubahan bermakna dalam usaha melakar semula pembangunan selaras dengan wadah RMK13,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Ekonomi Tahun 2026 di sini, hari ini.
Beliau juga menyifatkan fasa pelaksanaan RMK13 sebagai menjadi penentu hala tuju ekonomi negara dalam mendepani landskap global yang semakin mencabar, di samping memperkukuh usaha keluar daripada perangkap pendapatan sederhana melalui pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan yang lebih produktif dan berdaya saing
Sejajar dengan keutamaan itu juga, Akmal Nasrullah menekankan tiga prinsip utama sebagai asas pelaksanaan dasar dan perancangan di Kementerian Ekonomi iaitu pelaksanaan betul dan berintegriti, berteraskan akal budi serta berorientasikan penciptaan nilai.
“Bagi prinsip pertama, kita mesti buat dengan betul dan bersungguh-sungguh, termasuk mematuhi tatacara serta tatakelola, khususnya dalam soal integriti dan wibawa dengan fokus agar pelaksanaannya benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menekankan prinsip kedua berkaitan pelaksanaan dasar berasaskan ‘common sense’ atau akal budi yang menjadi faktor kejayaan utama sesuatu dasar awam.
“Dasar yang baik bukan sahaja ‘legally right’ (sah dari segi undang-undang), tetapi juga morally right (betul secara moral). Inilah ukuran rakyat sama ada dasar yang kita laksanakan berakar pada realiti atau sekadar bersifat ‘kayangan’ dan tidak pernah mendarat,” katanya.
Bagi prinsip ketiga, beliau berkata budaya organisasi yang menekankan penciptaan nilai perlu diterapkan secara menyeluruh demi manfaat bersama.
Selain itu, bagi memastikan RMK13 dilaksanakan mengikut perancangan, Akmal Nasrullah berkata aspek penyelarasan, pemantauan dan pelaporan kemajuan yang telus perlu diberi keutamaan, termasuk tindakan pembetulan yang pantas apabila diperlukan.
Beliau berkata pemantauan gerak kerja RMK13 akan diperkukuh melalui Kerangka Pemantauan Rancangan Malaysia Lima Tahun, termasuk peranan jawatankuasa sedia ada serta pendigitalan Pelan Pelaksanaan Dasar menerusi Sistem MyRMK yang merangkumi KPI dan senarai agensi pelaksana.
Mengulas prestasi ekonomi negara, beliau berkata Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada 2025 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga manakala purata pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama mencecah 4.7 peratus.
Beliau berkata prestasi itu disokong lebihan akaun semasa imbangan pembayaran sebanyak RM12.2 bilion, kadar inflasi yang kekal rendah dan pasaran buruh yang mencapai guna tenaga penuh, dengan kadar pengangguran stabil pada 3.0 peratus.
“Oleh itu, komitmen kita adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh selaras dengan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar sekitar 4.0 peratus hingga 4.5 peratus bagi 2026,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata usaha menarik pelaburan kekal menjadi keutamaan dengan Pihak Berkuasa Koridor merealisasikan pelaburan berjumlah RM64.7 bilion pada 2025 yang meningkat 56 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menjana lebih 14,000 peluang pekerjaan baharu.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah turut berkongsi mengenai persiapan penganjuran Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 bertemakan “Accelerating Growth, Advancing Malaysia” (Melonjakkan Pertumbuhan, Memajukan Malaysia) pada 5 Februari 2026 yang dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kementerian Ekonomi juga, katanya, sedang merancang beberapa inisiatif utama termasuk Persidangan KL20, Rangka Tindakan dan Kertas Putih Penuaan Kebangsaan, penganjuran Junior Innovathon dan Innovathon, pelaksanaan Pelan Komunikasi Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), pembangunan Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) serta penganjuran APEC Oil and Gas Security Exercise 2026.
-- BERNAMA
