KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Johor muncul sebagai satu daripada negeri paling berprestasi dalam jumlah dan nilai transaksi hartanah manakala Sabah mencatatkan peningkatan di segmen kediaman, komersial dan perindustrian.
Pengarah Perkhidmatan Penyelidikan dan Perundingan Rahim & Co International Property Consultants Sdn Bhd Sulaiman Saheh berkata prestasi Johor disokong oleh aliran pelaburan yang berterusan dan pembangunan infrastruktur termasuk impak yang dijangka daripada Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.
"Sabah sebenarnya menunjukkan peningkatan dalam sektor kediaman, komersial dan perindustrian. Melihat kepada jumlah nilai transaksi yang menunjukkan harga keseluruhan semua hartanah yang diniagakan, nilai tersebut meningkat.
"Tetapi peningkatan ini berbeza-beza mengikut kawasan yang menunjukkan polarisasi yang lebih ketara antara pusat ekonomi dan bandar yang lebih matang dengan kawasan di luar lokasi-lokasi tersebut," katanya sewaktu membentangkan Kajian Pasaran Hartanah Rahim & Co 2025/2026 di sini hari ini.
Sebaliknya, Sulaiman berkata Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan sedikit penurunan dalam jumlah transaksi kediaman selepas kemuncaknya pada 2024.
Bagi segmen perumahan mampu milik, Sulaiman berkata pertumbuhannya menjadi sederhana seiring dengan penstabilan harga rumah sepanjang dua tahun lepas.
"Itu sebenarnya berkurang yang bermaksud pemaju kini memasukkan lebih banyak unit dengan lebih banyak unit berada dalam julat harga yang lebih tinggi sekitar RM500,000 hingga RM1 juta setiap unit.
"Satu perkara mengenai segmen mampu milik, ia masih merupakan isu yang sangat penting dan membimbangkan bagi pasaran dan semua rakyat Malaysia," tambahnya.
Menyentuh mengenai hartanah siap dibina yang tidak terjual, beliau berkata unit berkenaan meningkat dalam 12 bulan lepas kepada 49,198 unit yang terdiri daripada hartanah kediaman dan pangsapuri perkhidmatan di Johor serta dikategorikan sebagai unit dua dalam satu.
Bagaimanapun, beliau berkata terdapat kemajuan yang dicatatkan di Johor dan Kuala Lumpur apabila unit yang tidak terjual sedikit berkurangan manakala Selangor kekal hampir tidak berubah.
Sulaiman berkata unit tidak terjual tidak terhad kepada hartanah mewah dengan sebahagian besarnya di bawah RM1 juta termasuk rumah yang berharga kurang daripada RM500,000 disebabkan oleh faktor-faktor seperti isu harga, lokasi, ketidaksesuaian produk dan kekangan pendapatan pembeli.
Beliau berkata sektor bukan kediaman menunjukkan sedikit kemajuan terutamanya dari segi permintaan keseluruhan untuk unit pejabat baharu yang dipacu oleh bangunan pejabat yang mematuhi piawaian alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) serta berorientasikan transit selain terletak di kawasan pembangunan mantap.
-- BERNAMA
