KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Pasaran hartanah Malaysia kini memasuki fasa baharu pertumbuhan mampan dengan tumpuan untuk menyeimbangkan penawaran dan permintaan sebenar bagi mengelakkan pengulangan kesilapan pada era ledakan pasaran yang lepas.
Pengarah Perkhidmatan Penyelidikan dan Perundingan Rahim & Co International Property Consultants Sdn Bhd Sulaiman Saheh berkata pasaran hartanah melalui beberapa fasa pertumbuhan pesat sepanjang dekad yang lepas apabila kelulusan dan pelancaran baharu sering kali melebihi permintaan sebenar.
"Kita melihat ketika pasaran benar-benar berkembang pesat, banyak kelulusan diberikan, banyak pelancaran unit baharu dilakukan apabila pertumbuhan penawaran sedikit terpisah daripada pertumbuhan permintaan.
"Inilah sebabnya kajian perlu dilakukan, bukan hanya oleh pemaju tetapi juga oleh pemberi pinjaman yang sebenarnya mengambil risiko dalam memberikan pinjaman serta pihak berkuasa tempatan dan juga semua pemain hartanah sama ada perunding, pemaju dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan Kajian Pasaran Hartanah Rahim & Co 2025/2026 di sini hari ini.
Sulaiman berkata kapasiti pinjaman individu juga meningkat seiring dengan peningkatan pendapatan isi rumah, namun kos sara hidup yang semakin meningkat terus memberi cabaran kepada pembeli dalam mendapatkan pinjaman.
"Jadi, itulah sebabnya banyak kebimbangan tentang pembeli mendapatkan pinjaman yang kini masih menjadi cabaran.
"Tindakan yang dilaksanakan Bank Negara Malaysia termasuk garis panduan pembiayaan yang bertanggungjawab, perlu terus dipatuhi. Kita mahu mengelakkan situasi iaitu pasaran berkembang secara tidak terkawal," tambahnya.
Melihat pasaran secara keseluruhan, Sulaiman berkata profil pembeli perlu dinilai secara individu kerana ramai daripada pembeli rumah tidak mempunyai gaji tetap.
"(Contohnya), pekerja gig sebenarnya mendapat banyak kelonggaran dan individu-individu ini giat mencari peluang. Dahulu, peniaga tidak formal juga menjana pendapatan yang besar walaupun tidak direkodkan.
"Inilah apabila peraturan memainkan peranan. Agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan inisiatif seperti e-invois untuk memantau dan memastikan kemampanan sumber pendapatan ini," tambahnya.
-- BERNAMA
