AM

27 VETERAN ATM PERAK TERIMA MANFAAT DANA PADANAN GERAN BSN MULANIAGA

08/01/2026 05:52 PM

IPOH, 8 Jan (Bernama) -- Sebanyak 27 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Perak menerima manfaat dana padanan geran BSN MulaNiaga berjumlah RM200,000 menerusi inisiatif iTEKAD, sebagai usaha memperkasa kerjaya kedua dan keusahawanan berimpak tinggi dalam kalangan veteran tentera.

Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu merupakan program kerjasama antara perbadanan itu dan Bank Simpanan Nasional (BSN) di bawah Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035.

PERHEBAT memaklumkan inisiatif itu selari dengan komitmen pelan transformasi berkenaan bagi meluaskan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan menggalakkan keusahawanan berimpak tinggi melalui program Kerjaya Kedua Perwira yang dipacu sektor swasta.

Baru-baru ini, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menyaksikan penyerahan dana padanan iTEKAD berjumlah RM200,000 yang disampaikan Ketua Eksekutif BSN Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah kepada Pengarah PERHEBAT Perak Leftenan (B) Azri Baharum mewakili Ketua Pengarah PERHEBAT Datuk Amir Md Noor di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Menurut PERHEBAT, inisiatif itu turut mendapat kerjasama daripada Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) sebagai rakan pelaksana program, khususnya dalam aspek bimbingan dan pengurusan kewangan. 

"Program Kerjaya Kedua Perwira adalah inisiatif strategik yang menghubungkan agensi awam dan syarikat swasta bagi meluaskan akses latihan industri berkualiti serta peluang kerjaya bernilai tinggi untuk bakal pesara dan veteran ATM," menurut kenyataan itu.  

PERHEBAT turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama tiga institusi perbankan iaitu Affin Islamic Bank, Bank Muamalat Malaysia dan BSN dengan menyediakan inisiatif iTEKAD seperti dana zakat, pembiayaan mikro, latihan pengurusan perniagaan, ekonomi digital dan pemasaran dalam talian.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan