DUNIA

REPUBLIKAN AS TOLAK CADANGAN TINDAKAN KETENTERAAN TERHADAP GREENLAND

08/01/2026 05:38 PM

WASHINGTON, 8 Jan (Bernama-dpa) -- Beberapa anggota Republikan di Kongres Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kritikan terhadap sebarang kemungkinan tindakan ketenteraan untuk mengilhak Greenland, sekali gus menyanggah kenyataan Presiden Donald Trump yang mendakwa AS memerlukan pulau Artik itu demi keselamatan negara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Senator Utah John Curtis menulis di X pada Rabu bahawa walaupun memperkukuh kerjasama dengan Denmark dan Greenland adalah penting, penggunaan kekerasan ketenteraan adalah “tidak sesuai, tidak perlu dan sesuatu yang saya tidak akan sokong.”

Greenland, sebuah wilayah autonomi dengan kira-kira 56,000 penduduk, secara rasmi berada di bawah Kerajaan Denmark, rakan sekutu NATO.

Ahli Kongres Republikan Don Bacon dari Nebraska berkata kenyataan pentadbiran mengenai Greenland adalah merosakkan dan berisiko menjauhkan rakan NATO. Beliau memberitahu CNN bahawa idea untuk menyerap Greenland adalah antara perkara “paling tidak masuk akal” yang didengarnya daripada Rumah Putih sepanjang tahun lalu, dan menggesa Republikan lain menasihati pentadbiran bahawa mereka berada di landasan yang salah.

Senator Louisiana John Kennedy, ketika bercakap selepas taklimat oleh Setiausaha Negara Marco Rubio, berkata bahkan “pelajar tingkatan tiga yang sederhana bijak” akan tahu bahawa menyerang Greenland adalah tindakan “amat bodoh.”

Beliau berkata Trump dan Rubio bukanlah orang yang bodoh dan tiada rancangan pencerobohan sedang dipertimbangkan, namun tidak menolak usaha untuk mewujudkan rangka kerja undang-undang baharu bagi kerjasama pertahanan antara AS dan Greenland.

Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen memberi amaran bahawa serangan AS terhadap Greenland akan menamatkan NATO dan keseluruhan aturan keselamatan selepas Perang Dunia Kedua.

Trump sejak sekian lama mendakwa AS “memerlukan” Greenland untuk keselamatan negaranya.

Denmark, kerajaan Greenland, Kesatuan Eropah dan beberapa negara Eropah lain telah menolak dakwaan Trump itu. Perbahasan mengenai isu tersebut muncul semula selepas satu operasi ketenteraan AS di Venezuela baru-baru ini.

-- BERNAMA-dpa

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan