Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka mencatatkan aliran meningkat minggu hadapan memandangkan pasaran mungkin kekal disokong secara konstruktif, kata penganalisis.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kenaikan di Bursa Malaysia berkemungkinan perlahan namun berterusan, dan bukannya agresif.
“Kelemahan dolar AS, jangkaan pertumbuhan global yang stabil serta penurunan hasil AS jangka masa pendek akan menjadikan keadaan luaran menggalakkan. Kesimpulannya, keadaan itu kekal menjadi antara pendorong stabil dan pengambilan risiko terpilih, berbanding pemburuan risiko secara meluas,” katanya kepada Bernama.
Data terkini gaji bukan ladang (NFP) AS yang dikeluarkan pada Jumaat mencatatkan 50,000 pekerjaan pada Disember 2025, jauh lebih rendah daripada jangkaan pasaran sekurang-kurangnya 60,000 pekerjaan.
NFP AS merupakan petunjuk utama perbelanjaan pengguna dan keseluruhan aktiviti ekonomi di AS.
Seorang peniaga berkata data terkini itu menunjukkan potensi kelembapan dalam ekonomi AS.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pihaknya kekal optimis terhadap prospek jangka masa terdekat bagi indeks penanda aras susulan momentum kenaikan yang berterusan.
Beliau berkata secara keseluruhan, FBM KLCI masih berada dalam aliran meningkat yang positif merentas jangka masa pendek hingga panjang, manakala momentum pasaran kekal menyokong.
Penurunan kebelakangan ini dilihat sebagai konsolidasi yang baik dan bukan tanda-tanda penurunan, katanya.
“Kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam julat 1,670 hingga 1,700 dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.
Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Bursa Malaysia merekodkan dagangan dalam julat kecil sebelum melonjak semula untuk mengakhiri minggu dengan prestasi tinggi, dengan FBM KLCI mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih enam tahun.
Pencapaian itu dipacu pembelian berterusan ke atas saham mewah serta sejajar dengan prestasi positif kebanyakan pasaran serantau.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 16.78 mata kepada 1,686.54 daripada 1,669.76 pada minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 208.07 mata kepada 12,464.51, Indeks FBMT 100 meningkat 193.59 mata kepada 12,252.25, Indeks FBM Emas Shariah naik 181.41 mata kepada 12,247.91, Indeks FBM 70 menambah 596.77 mata kepada 17,449.24, manakala Indeks FBM ACE menokok 78.22 mata kepada 5,001.49.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan juga melonjak 452.96 mata kepada 20,042.95, Indeks Perladangan meningkat 219.49 mata kepada 8,490.58, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.17 mata kepada 173.33, manakala Indeks Tenaga menambah 14.45 mata kepada 781.22.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 13.54 bilion unit bernilai RM13.50 bilion daripada 7.88 bilion unit bernilai RM7.42 bilion pada minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 7.41 bilion unit bernilai RM11.96 bilion daripada 4.58 bilion unit bernilai RM6.75 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran sebanyak 3.98 bilion unit bernilai RM520.40 juta berbanding 2.16 bilion unit bernilai RM229.36 juta pada minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula melonjak kepada 2.15 bilion unit bernilai RM1.02 bilion daripada 1.13 bilion unit bernilai RM444.17 juta.
-- BERNAMA
