AM

PERUNTUKAN TAMBAHAN RM5 JUTA UNTUK OPERASI, SELENGGARA ZOO NEGARA - PM ANWAR

11/01/2026 12:01 AM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM5 juta bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan Zoo Negara tahun ini, susulan prestasi membanggakan pusat konservasi itu sebagai tarikan pelancongan dan pusat pendidikan alam sekitar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan RM5 juta yang diumumkan tahun lepas pula disalurkan bagi penyediaan kemudahan serta penyeliaan tambahan, selaras dengan peranan Zoo Negara dalam memupuk kesedaran mesra alam dalam kalangan pengunjung, khususnya pelajar.

“Ketika lawatan terdahulu, saya mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi meningkatkan kemudahan dan penyeliaan di Zoo Negara kerana prestasinya yang membanggakan sebagai tarikan pelancongan dan destinasi lawatan pelajar untuk memupuk kesedaran mesra alam.

“Tahun ini, saya meluluskan tambahan RM5 juta bagi urusan operasi dan penyelenggaraan kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pengenalan pasangan panda gergasi baharu, Chen Xing dan Xiao Yue, di sini hari ini.

Lawatan ke Pusat Konservasi Giant Panda di Zoo Negara itu turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, timbalannya Syed lbrahim Syed Noh, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan China atas sumbangan dua ekor panda gergasi yang menjadi tarikan utama pelancongan dalam dan luar negara, selain melambangkan kerjasama pemuliharaan antara kedua-dua negara.

“Saya mengambil kesempatan melalui Duta Besar China ke Malaysia untuk mengucapkan terima kasih kepada Presiden Xi Jinping dan kerajaan China atas sumbangan yang amat bermakna ini kerana ia menjadi tarikan besar kepada pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta seluruh pasukan yang mempunyai kepakaran dalam penjagaan panda.

“Perkara ini membanggakan kita dari segi keupayaan dalaman,” katanya.

Dalam nada berseloroh, Anwar berkata pasangan panda gergasi berkenaan hanya memilih buluh dari Rembau, Negeri Sembilan.

“Saya dimaklumkan tadi panda ini sangat memilih. Ia bukan sahaja memilih jenis buluh, tetapi hanya menerima buluh dari Rembau. Pelbagai jenis buluh telah dicuba, termasuk dari Permatang Pauh, namun tidak diterima, hanya dari Rembau,” katanya.

Menjawab pertanyaan media, Anwar berkata perbincangan sedang dijalankan dengan kerajaan negeri Selangor bagi menentukan kesesuaian untuk memperluas kawasan Zoo Negara di tapak sedia ada, dengan mengambil kira tekanan pembangunan di sekeliling serta keperluan menjaga kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata kerajaan juga mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung tanah yang diperuntukkan kepada Zoo Negara sejak 1963, termasuk kaitannya dengan keperluan peluasan pada masa depan serta komitmen di bawah program pemuliharaan panda gergasi.

“Buat masa ini, tiada kebimbangan mendesak. Masih ada ruang untuk peluasan. Kami berbincang dengan kerajaan negeri sama ada wajar peluasan dilakukan di tapak sedia ada atau sebaliknya. Perkara ini perlu diputuskan terlebih dahulu.

“Kawasan ini agak sesak berikutan pembangunan perumahan berskala besar di sekitarnya, namun hakikat bahawa kita mempunyai tanah yang diperuntukkan adalah satu kelebihan.

“Kita tidak semestinya perlu menggunakan setiap inci tanah. Kawasan hijau di sekeliling ini perlu dikekalkan dan kita amat tegas dalam perkara tersebut,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Selangor kerana memastikan kawasan hijau, khususnya di bawah pengurusan Zoo Negara dan sekitarnya, terus dipelihara tanpa pembangunan berlebihan demi kelestarian alam sekitar.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan