AM

TUN DR MAHATHIR TERUSKAN RAWATAN DI IJN

10/01/2026 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih meneruskan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) bagi pemulihan tulang pinggul yang patah akibat terjatuh di kediamannya, Selasa lepas.

Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff berkata Tun Dr Mahathir akan menjalani rawatan fisioterapi tanpa pembedahan setelah perbincangan bersama doktor pakar daripada IJN, Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Hospital Kuala Lumpur yang memutuskan rawatan berkenaan sebagai pilihan terbaik.

“Mengambil kira faktor usia Tun Dr Mahathir juga, proses pemulihan ini akan memakan jangka masa yang agak lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sufi berkata Tun Dr Mahathir dan keluarga mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau.

“Buat masa ini juga, Tun Dr Mahathir tidak dibenar menerima pelawat kecuali keluarga terdekat,” katanya.

Terdahulu, pemimpin berusia 100 tahun itu dimasukkan ke IJN 6 Jan lepas selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya di The Mines, Seri Kembangan, dekat sini dan disahkan mengalami patah tulang pinggul kanan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan