AM

PENDUDUK KAMPUNG DI TAWAU MAHU TINDAKAN PROAKTIF TANGANI BANJIR

10/01/2026 07:10 PM

TAWAU, 10 Jan (Bernama) -- Penduduk Kampung Tanjung Batu Keramat di sini mahu tindakan proaktif diambil bagi menangani masalah banjir yang sering melanda kampung itu dan insiden terbaharu Khamis lepas disifatkan mereka sebagai yang terburuk. 

Ketua Kampung Abdul Rahman Borhan, 70, berkata air yang deras dan naik sehingga melepasi paras pinggang pada Khamis lepas memaksa penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Biasanya apabila banjir hanya sehingga paras buku lali saja tetapi pada malam Khamis lalu...dari semasa ke semasa air semakin meningkat dan deras, rumah saya juga banjir tetapi tidak seteruk di kawasan hujung kampung.

“Angkatan Pertahanan Awam (APM) menasihati penduduk kampung pindah dan saya mohon kepada pengerusi masjid agar Dewan Masjid Al-Mukarramah digunakan sebagai PPS sebelum APM membantu memindahkan penduduk menggunakan perahu pukul 3 pagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Penduduk, Mohd Fadzil Ismail, 43, juga memohon kerajaan mengambil perhatian serta langkah sewajarnya untuk menangani masalah banjir yang menyebabkan orang kampung terpaksa berjaga-jaga kerana risaukan keselamatan mereka.

Mengimbas kejadian malam Khamis itu, beliau berkata air deras mulai masuk ke kawasan rumahnya pada 12 tengah malam dan paras air semakin meningkat pada pukul 2 pagi justeru memaksa keluarganya berpindah ke PPS.

“Kita harap wakil rakyat Tanjung Batu mengambil perhatian, ambil langkah sewajarnya tangani masalah banjir ini, kasihan rakyat apabila hujan, tidur pun tidak lena, kita terpaksa berjaga kerana risau keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata satu perjumpaan akan diadakan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran minggu depan bagi mencari penyelesaian jangka masa pendek menangani masalah banjir berkenaan.

“Hal ini melibatkan kesejahteraan penduduk, kita perlu cari solusi jangka pendek, kalau menunggu tebatan banjir itu akan memakan masa lama,” katanya sambil menambah 20 daripada 200 rumah di kampung itu terjejas banjir.

Katanya 95 mangsa melibatkan 20 ketua keluarga yang berada di PPS itu dijangka pulang ke rumah masing-masing hari ini namun dinasihatkan supaya terus berhati-hati kerana musim hujan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan