KINABATANGAN, 10 Jan (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bukan sekadar medan memilih pengganti, sebaliknya menjadi ujian paling signifikan terhadap legasi Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Selepas memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan selama lebih dua dekad sejak 1999, pengaruh Bung Moktar menurut penganalisis politik dilihat masih kuat berakar umbi dalam kalangan pengundi setempat, termasuk generasi muda.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Haryati Abdul Karim berkata PRK kali ini penting untuk menilai sejauh mana pengaruh politik Bung Moktar diterjemahkan dalam bentuk sokongan pengundi, selepas ketiadaan figura politik itu.
Beliau berkata hubungan Bung Moktar dengan masyarakat setempat yang dibina melalui rekod bantuan tanpa mengira usia, agama atau bangsa, kekal segar dalam ingatan pengundi termasuk golongan muda, meskipun Kinabatangan masih berdepan cabaran pembangunan yang berlarutan.
“Soal sama ada pengundi muda akan memilih antara naratif pembangunan atau kesinambungan legasi beliau, saya berpendapat mereka ini akan lebih cenderung kepada legasi Allahyarham.
“Ini kerana meskipun Kinabatangan masih agak keterbelakang dari segi pembangunan, namun sepanjang hayat Bung Moktar, beliau sentiasa berusaha memajukan dan memperjuangkan pembangunan kepada Kinabatangan ini,” kata Penyelidik Kajian Geopolitik Borneo (GeoPES) itu kepada Bernama hari ini.
Haryati berkata keputusan PRK ini turut menguji sejauh mana kemampuan Barisan Nasional (BN) Sabah untuk bangkit semula selepas hanya memenangi enam kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Beliau berpandangan persaingan yang lebih kecil kali ini, memberi ruang kepada pengundi membuat pilihan yang lebih jelas selain menegaskan kemenangan kerusi dalam PRK membawa makna kepada parti, khususnya BN Sabah yang berhasrat mengukuhkan kedudukan dalam kerajaan Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
Dari sudut demografi pengundi, lebih separuh pengundi di Kinabatangan terdiri daripada golongan muda, dengan 57.17 peratus berusia antara 18 hingga 39 tahun, menjadikan kumpulan ini penentu utama dalam PRK kali ini.
Beliau berkata corak pengundian kelompok berkenaan dilihat cenderung menilai kesinambungan kepimpinan serta tawaran masa depan, berbanding kesetiaan kepada parti semata-mata.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah Tony Paridi Bagang pula berkata Kinabatangan yang merupakan kerusi luar bandar, memerlukan kesinambungan antara pembangunan dan kepimpinan bagi mampu memacu perubahan di kawasan berkenaan.
“Calon BN merupakan orang muda dan pasti mempunyai tawaran idea, pendekatan mahupun aspirasi baharu. Legasi kepimpinan dan rasa simpati kepada Allahyarham Bung Moktar bakal memberi nilai tambah kepada calon BN,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan parti Warisan kekal sebagai pencabar utama berdasarkan rekod sokongan pada PRN lepas.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili BN, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlaku antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Bung Moktar, 66, pada 5 Dis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam, 23 Jan, dengan hari pengundian ditetapkan pada 24 Jan dan pengundian awal, 20 Jan.
-- BERNAMA
