KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Sebanyak 15 cedera termasuk tiga parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dengan lori tiga tan di Kilometer 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) antara Sungai Buaya dan Rawang, dekat sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.24 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang tiba di lokasi kejadian pada 5.51 pagi.
“Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres yang membawa 40 penumpang dan dua pemandu, dengan 38 penumpang berjaya keluar dengan selamat manakala empat mangsa tersepit di dalam bas.
“Pemandu lori berkenaan turut terperangkap di dalam lori,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh dengan lapan daripadanya dirawat di zon hijau, empat di zon kuning dan tiga lagi di zon merah.
Ahmad Mukhlis berkata pihaknya berhadapan kesukaran semasa operasi mengeluarkan penumpang bas lelaki berusia lingkungan 50-an, berikutan struktur pembahagi jalan menghimpit kaki mangsa sebelum berjaya dikeluarkan pada 8.53 pagi.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi media sosial X memaklumkan semua laluan ke arah selatan masih terhalang manakala lorong kanan dan tengah arah utara masih ditutup setakat 9.23 pagi tadi.
“Keadaan trafik arah selatan dilaporkan sesak sejauh lima kilometer (km) dan arah utara perlahan tiga km,” menurut hantaran itu.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif dengan kenderaan berat disaran keluar di Plaza Tol Bukit Beruntung manakala kenderaan ringan keluar di Plaza Tol Sungai Buaya.
Berikutan kemalangan itu juga laluan kontra telah diaktifkan.
-- BERNAMA
