AM

KEPADATAN SMK BANDAR SERI PUTRA: KPM AKAN BINA 10 BILIK DARJAH TAMBAHAN

11/01/2026 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan membina 10 bilik darjah tambahan menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra, Selangor sebagai penyelesaian jangka pendek dan sederhana terhadap masalah kepadatan murid di sekolah itu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan kaedah IBS telah terbukti efektif, kerana ia dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat.

“Pada ketika ini KPM turut merancang pembinaan bangunan tambahan dua tingkat menggunakan kaedah IBS di SMK Bandar Seri Putra,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata isu sekolah padat yang dihadapi oleh pelajar di SMK Bandar Seri Putra, memberi kesan kepada isu keselesaan dan keberkesanan sesi pembelajaran.

Fadhlina memaklumkan beliau telah meninjau keadaan sekolah itu dan berbincang dengan pentadbir sekolah, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bahagian Pembangunan KPM mengenai masalah itu.

Sementara itu, Fadhlina turut meminta pihak pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan JPN agar mengubah disiplin kerja dan mengelakkan budaya “kerja hanya kerana isu viral”, kerana ia boleh menimbulkan pelbagai persepsi.

“Mesti pantas dan tangkas. Mesti jelas dan responsif kepada aduan rakyat. Jangan bekerja seperti business as usual, tetapi harus lebih cekap dalam mengurus persepsi dan keperluan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, beberapa pengguna media sosial membangkitkan isu kepadatan kelas di sekolah itu dan berharap ia dapat diatasi demi keselesaan pelajar dan pihak sekolah.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan