BERITA TERGEMPAR   Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | 
 AM

ISU ATM: MENTERI PERTAHANAN AKAN BUAT KENYATAAN ESOK - FAHMI

11/01/2026 07:49 PM

BANGI, 11 Jan (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan memberikan kenyataan berhubung isu perolehan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) esok, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata isu berkaitan perolehan ATM, ada dimaklumkan dalam program Permukiman Kerajaan MADANI 2026 yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Jemaah Menteri dan pimpinan kerajaan negeri hari ini.

“Berkait dengan isu perolehan, tadi (semasa sesi permukiman) ada dimaklumkan bahawa Menteri Pertahanan akan membuat kenyataan esok,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merakam keterangan seorang pegawai kanan ATM, bagi membantu siasatan berkaitan penyalahgunaan dana dalam pasukan terbabit.

Sementara itu, Fahmi berkata menerusi sesi permukiman itu, kerajaan menegaskan supaya setiap isu yang berlaku di negara ini, ditangani secara tuntas bagi mengelak timbulnya persepsi salah dalam kalangan masyarakat.

“Kepentingan kepimpinan terutama anggota pentadbiran Jemaah Menteri (adalah) segera, memastikan maklumat yang tepat mengenai sesuatu perkara itu sampai, bukan untuk tunggu sehingga sesuatu isu itu menimbulkan persepsi yang salah.

“Jadi ada dibangkitkan pengalaman dalam beberapa kes sebagai pengajaran dan saya rasa berdasarkan perbincangan, rata-rata anggota Jemaah Menteri memahami apa yang perlu dilakukan untuk memastikan satu-satu isu itu dapat ditangani dengan tuntas,” katanya.

Ditanya sama ada kontroversi lain turut dibincangkan dalam pemukiman kali ini, beliau berkata tiada isu khusus dibincangkan, tetapi kerajaan fokus mengenai perkara yang perlu dilakukan bagi mengatasi sebarang isu atau permasalahan.

“Jadi kita tak bincangkan satu isu secara terlalu detail tetapi kita ambil prinsip bagaimana perlu kita atasi isu-isu dan masalah-masalah ini (di negara ini),” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan