JOHOR BAHRU, 11 Jan (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melaksanakan mobilisasi pegawai perubatan kontrak bagi menampung kekurangan petugas di beberapa hospital di negeri berkenaan, termasuk Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
JKNJ menerusi kenyataan memaklumkan beberapa langkah penambahbaikan juga telah diambil secara berperingkat di HSA bagi menangani beban perkhidmatan kesihatan yang dialami.
Usaha itu, antara lain mengoptimumkan proses aliran pesakit dan penyelarasan penugasan klinikal serta kerjasama berterusan dengan pihak berkaitan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan.
“JKNJ amat menghargai komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua pasukan perubatan dan pada masa sama mengharapkan kefahaman orang awam terhadap cabaran yang dihadapi oleh sistem kesihatan awam pada ketika ini,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, JKNJ turut mengambil maklum berhubung laporan media bertajuk ‘Doctors Stretch to Breaking Point at Johor’s HSA, Watchdog Warns’ pada 7 Jan lepas, yang melaporkan isu kekurangan pegawai perubatan dan beban perkhidmatan kesihatan di HSA.
Jabatan itu memaklumkan keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan walaupun hospital berkenaan, yang juga hospital rujukan utama di Wilayah Selatan dan menerima jumlah pesakit yang tinggi berdepan cabaran.
Ia termasuk dari segi pengurusan perkhidmatan klinikal dan pengurusan aliran pesakit, khususnya di Jabatan Kecemasan & Trauma (JKT) dan di Wad Perubatan.
“Pasukan perubatan akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh profesionalisme walaupun berdepan beban kerja yang mencabar,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
