JENAYAH & MAHKAMAH

SEMBILAN KELDAI AKAUN PENIPUAN DALAM TALIAN DITAHAN BABITKAN KERUGIAN RM781,000

11/01/2026 08:44 PM

MUAR, 11 Jan (Bernama) -- Polis menahan sembilan individu berperanan sebagai keldai akaun yang terlibat dalam pelbagai kes penipuan dalam talian hingga mengakibatkan kerugian lebih RM781,000 menerusi satu operasi bersepadu, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata keldai akaun terbabit telah menyerahkan kad ATM dan butiran perbankan kepada sindiket penipuan, yang kemudiannya digunakan sebagai medium penerimaan wang hasil penipuan daripada mangsa.

Beliau berkata kesemua suspek berkenaan adalah warga tempatan yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 59 tahun.

“Berdasarkan siasatan awal aktiviti penipuan dalam talian yang dilakukan oleh sindiket bersama sembilan keldai akaun itu berlaku antara Dis 2024 hingga Okt 2025.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihak polis kini sedang melakukan siasatan lanjut termasuk mengesan rangkaian sindiket yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan