KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Keputusan untuk mengklasifikasikan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dibuat hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden UMNO itu.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) itu tidak dibuat secara 'suka-suka' dan jabatan itu tidak akan memberikan ‘No Further Action’ (NFA) tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang sesuatu kes.
“Ada isu fakta dan undang-undang yang dibangkitkan peguam mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid. Kita semak balik dan mendapati perlu ada siasatan lanjut, yang akhirnya membawa kepada keputusan NFA.
"Pembebasan (Ahmad Zahid) adalah mutlak kerana kita menggunakan kuasa di bawah Fasal 145 Perlembagaan Persekutuan. Apabila kita tutup kes dan nyatakan secara muktamad, itu sahaja – tiada tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Pada 8 Jan lepas, AGC memutuskan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid, selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baru.
AGC dalam kenyataan memaklumkan siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk aspek sumber dana, kaedah perolehan, dan penggunaan dana berkenaan.
Dalam ucapannya, Mohd Dusuki turut menekankan sumbangan penting AGC melalui pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Pada 10 Sept 2025, Kabinet bersetuju menerima model pemisahan penuh, dengan kedua-dua jawatan dipegang oleh individu berbeza dan setara. Kabinet juga meluluskan pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada sesi Parlimen 2026.
“Bagi melaksanakan keputusan Kabinet, AGC telah mengaktifkan semula Jawatankuasa Kerja dan beberapa sub-jawatankuasa yang ditubuhkan sejak 2018 untuk memperhalusi cadangan terperinci mengenai struktur organisasi, staf, logistik, kewangan, dan strategi pelaksanaan berperingkat,” katanya.
-- BERNAMA
