KINABATANGAN, 12 Jan (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag Mohd Ismail Ayob akan mengemukakan cadangan kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar institusi MARA di kawasan itu dinaik taraf daripada peringkat sijil kepada diploma.
Beliau berkata cadangan itu dikemukakan bertujuan bagi memberi peluang kepada golongan belia untuk memperoleh latihan kemahiran tinggi tanpa perlu berhijrah keluar daripada kawasan DUN berkenaan.
“Pembangunan modal insan melalui institusi pendidikan tinggi berasaskan kemahiran dan usaha menaik taraf sekolah daif menjadi agenda saya.
“Antara manifesto kami (BN) adalah memperkasa pendidikan dengan mewujudkan institusi pendidikan tinggi berasaskan kemahiran untuk manfaat penduduk setempat,” katanya selepas menyantuni ibu bapa dan guru selepas tamat sesi persekolahan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam II di sini hari ini.
Mohd Ismail, 44, atau lebih dikenali sebagai Miha berkata selain itu kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan akan membolehkan isu infrastruktur pendidikan daif di kawasan itu ditangani secara lebih berkesan dengan sokongan dan perhatian Kementerian Pendidikan (KPM).
Sementara itu, beliau meminta KPM agar mempercepatkan pembinaan semula dewan SK Bukit Garam II yang terbakar bulan lepas kerana ia adalah keperluan penting bagi murid dan aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Mohd Ismail ketika mengulas kempen yang memasuki hari ketiga hari ini berkata pendekatan kempen rumah ke rumah tetap diteruskan manakala penggunaan media sosial akan dipergiat sebagai medium utama mendekati pengundi termasuk golongan muda.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala PRK DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlaku antara Mohd Ismail dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
DUN Lamag mempunyai 13,899 pengundi dengan 4,617 adalah pengundi muda.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 24 Jan manakala 20 Jan ini sebagai undi awal.
-- BERNAMA
