PUTRAJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selesai memberikan keterangan untuk kali kedua kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pegawai kanan berkenaan selesai memberikan keterangan pada 5 petang.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata suruhanjaya berkenaan akan melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu dan sebarang kemas kini mengenai siasatan kes terbabit akan dimaklumkan kemudian dari semasa ke semasa.
“SPRM telah selesai merakam percakapan pegawai tertinggi ATM untuk hari ini dan beliau telah dilepaskan pada 5 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, pegawai itu yang berusia lingkungan 60-an memasuki bangunan SPRM pada 10.10 pagi dan memberikan keterangan selama tujuh jam.
Difahamkan, pegawai itu hadir sekali lagi pada hari ini selepas memberikan keterangan kira-kira 13 jam semalam, bermula 11 pagi.
Media sebelum ini melaporkan Azam mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa pegawai penyiasat masih memerlukan keterangan individu berkenaan bagi membantu siasatan kes terbabit.
Pegawai itu dibenarkan pulang pada tengah malam tadi, namun sesi rakaman keterangannya disambung hari ini.
-- BERNAMA
