KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Mangsa yang maut dalam kejadian letupan di sebuah universiti swasta di sini hari ini ialah pelajar praktikal dari universiti swasta lain yang sedang menjalani latihan industri bersama sebuah syarikat penyelenggaraan penyaman udara.
Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Prof Chang Yoong Choon berkata mangsa, Soo Yu Juan, 24, ialah pelajar tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal dan sepatutnya menamatkan latihan industrinya Khamis ini.
Beliau berkata latihan industri berkenaan adalah sebahagian daripada keperluan rutin pengajian bagi pelajar kejuruteraan untuk memberikan pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar.
“Kejadian ini amat mengejutkan dan luar jangkaan pihak universiti. Pelajar berkenaan pergi ke lokasi sebagai sebahagian daripada tugasan rutin berkaitan kerja penyelenggaraan penyaman udara,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini hari ini.
Chang berkata pihak universiti menyediakan perlindungan insurans kepada semua pelajar termasuk melibatkan kejadian kemalangan semasa latihan industri.
“Selepas semua dokumen berkaitan diperoleh, universiti akan mengemukakan tuntutan insurans. Saya sendiri mewakili universiti untuk menguruskan kes ini sehingga selesai sebagai komitmen UTAR kepada pelajar dan keluarga mangsa,” katanya.
Beliau turut memaklumkan syarikat tempat mangsa menjalani latihan industri juga menyatakan komitmen untuk memberikan sokongan dan bantuan termasuk dalam urusan pengebumian.
Chang berkata punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan pihaknya menunggu hasil siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Tinjauan Bernama mendapati, ibu dan abang mangsa hadir ke Jabatan Forensik HKL kira-kira 6 petang bagi proses pengecaman.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara di sebuah universiti swasta kira-kira 11.40 pagi tadi.
-- BERNAMA
