EKONOMI

PELABURAN BAJA PENTING BAGI URUS KESAN IKLIM TERHADAP MINYAK SAWIT -- MPOB

12/01/2026 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Pelaburan dalam baja amat penting bagi memastikan sektor minyak sawit di Malaysia dilindungi daripada hasil yang lebih rendah disebabkan oleh cabaran iklim. 

Ketua Unit Ekonomi Pengeluaran dan Penyelidikan Teknoekonomi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Nur Nadia Kamil, berkata kejadian cuaca ekstrem, El Nino dan La Nina, semakin kerap berlaku dan akan mewujudkan pelbagai cabaran kepada industri minyak sawit. 

“Dalam konteks minyak sawit, kedua-dua pengakhiran spektrum adalah penting. 

“Haba dan kemarau semasa El Nino mengurangkan hasil, tetapi begitu juga hujan berlebihan semasa La Nina,” katanya pada Seminar Tinjauan dan Kajian Ekonomi Minyak Sawit di sini hari ini. 

Nur Nadia berkata daripada perspektif hasil, kedua-dua El Nino dan La Nina boleh mengakibatkan kerugian.

Beliau menekankan bahawa ketika fasa EL Nino yang berlaku pada peringkat akhir perkembangan tandan buah, iaitu ketika hampir dengan musim menuai, sekali gus menjadikan ia cenderung yang paling terjejas. 

“Memandangkan kesemua peringkat ini hampir dengan masa menuai, kesan terhadap hasil menjadi ketara dengan amat cepat,” katanya sambil menambah bahawa kerosakan utama daripada El Nino adalah sekitar 65 peratus pada tahun pertama, dan beberapa tekanan berterusan sehingga tahun kedua, tetapi haba yang kuat pada asasnya berlaku lebih awal. 

Sebaliknya, La Nina mengakibatkan keadaan basah yang berpanjangan, dan tekanan meningkat secara beransur-ansur, sekali gus menjejaskan peringkat awal perkembangan tandan.

“Apabila peringkat awal terjejas, kesan kepada hasil mengambil masa lebih lama daripada yang sepatutnya, itulah sebabnya La Nina memberi kesan kepada suhu pada tahun kedua, dan bukannya tertumpu pada tahun pertama,” kata Nur Nadia. 

Beliau menjelaskan bahawa ketika berlakunya El Nino yang kuat -- dengan Indeks El Nino (MEI) multivariat sebanyak +2.0 -- dijangkakan kerugian kumulatif kira-kira 2.3 tan setara minyak sawit buah segar (FFPE) sehektar dalam tempoh 24 bulan. 

“Ia bermaksud pengurangan kira-kira tujuh peratus dalam purata hasil,” kata Nur Nadia. 

Sementara itu, bagi La Nina dengan MEI -1, kerugiannya adalah sedikit lebih kecil, tetapi masih ketara, di mana hasil FFPE susut kepada kira-kira 1.83 tan sehektar, atau hampir lima peratus.

“Oleh itu, pelaburan dalam baja merupakan salah satu penampan yang mungkin terhadap tekanan iklim.

“Ketika berlakunya La Nina yang kuat, ladang yang tidak mempunyai pelaburan dalam baja mengalami kerugian kumulatif hampir satu tan sehektar dalam tempoh dua tahun.

“Sebaliknya, estet yang mempunyai perbelanjaan bagi baja tertentu lebih berupaya menampung kesan sokongan dalam pemulihan hasil," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan