DUNIA

EU AKAN TANDATANGANI PERJANJIAN PERDAGANGAN DENGAN BLOK AMERIKA SELATAN

12/01/2026 10:13 PM

BRUSSELS, 12 Jan (Bernama-Anadolu) -- Kesatuan Eropah (EU) akan memeterai perjanjian perdagangan yang sekian lama dinantikan dengan blok Mercosur di Paraguay pada 17 Jan, menurut jurucakap Suruhanjaya EU Paula Pinho pada sidang media tengah hari Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Presiden Suruhanjaya EU Ursula von der Leyen, bersama Presiden Majlis EU Antonio Costa, akan berkunjung ke Paraguay untuk memuktamadkan perjanjian itu dengan pemimpin negara Mercosur - Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay.

“Ia akan menjadi detik bersejarah dalam sejarah EU,” katanya, sambil menekankan bahawa rundingan perjanjian itu mengambil masa 25 tahun.

Perjanjian tersebut bertujuan mengurangkan tarif ke atas produk pertanian seperti daging lembu, ayam, tenusu, gula dan etanol dari negara Mercosur, sambil memberi industri Eropah akses lebih luas ke pasaran Amerika Selatan.

Perjanjian itu diluluskan oleh negara anggota EU pada Jumaat, selepas percubaan sebelumnya tertangguh pada Disember susulan bantahan petani dan tentangan daripada beberapa negara termasuk Perancis, Ireland, Hungary dan Poland.

Namun begitu, petani Eropah terus menyuarakan kebimbangan bahawa import lebih murah yang dihasilkan di bawah standard lebih rendah boleh mewujudkan persaingan tidak adil dan mengancam kelangsungan ladang kecil di seluruh EU.

Perjanjian itu kini perlu mendapat kelulusan Parlimen Eropah. “Di suruhanjaya, fokus utama kami pada masa ini ialah menandatangani perjanjian. Kami terus bekerjasama dan berinteraksi dengan Ahli Parlimen Eropah kerana kami percaya perjanjian ini sudah berada di meja rundingan,” kata jurucakap Olof Gill.

Ketika ditanya sama ada perjanjian itu boleh dikuatkuasakan sebelum pengesahan parlimen, Gill berkata: “Perjanjian tersebut membenarkan kemungkinan itu. Ya.”

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan