DUNIA

RINGGIT TERUS MENGUKUH BERBANDING DOLAR AS PADA SESI AWAL

13/01/2026 08:54 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah pada Selasa di tengah-tengah kebimbangan ketara pasaran terhadap kebebasan Rizab Persekutuan AS (Fed) yang terus ditekan berkaitan pendirian dasar monetarinya.

Setakat jam 8 pagi ini, ringgit mengukuh kepada 4.0580/0685 berbanding dolar AS daripada 4.0605/0660 pada penutup urus niaga semalam

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kebimbangan terhadap kebebasan Rizab Persekutuan AS dilihat memberi kesan negatif kepada dolar AS apabila Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.24 peratus kepada 98.894 mata.

Berikutan itu, katanya, ringgit telah meningkat sebanyak 0.24 peratus berbanding dolar AS semalam.

“Serangan berterusan pentadbiran Presiden Donald Trump terhadap pihak Fed telah menjejaskan persepsi peniaga dan pelabur dalam menilai hala tuju dolar AS. Punca utama ketegangan Rumah Putih dan Fed adalah keengganan bank pusat itu melonggarkan dasar monetarinya.

“Perkembangan ini sebaliknya dilihat memberi manfaat kepada ringgit dalam jangka pendek yang dijangka diniagakan dalam julat RM4.05 hingga RM4.06 berbanding dolar AS hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ini termasuk mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5677/5747 daripada 2.5717/5754 sebelum ini, meningkat sedikit berbanding euro kepada 4.7345/7467 daripada 4.7435/7499 namun susut berbanding pound Britain kepada 5.4641/4782 daripada 5.4630/4704.

RInggit juga diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN lain namun mendatar berbanding peso Filipina pada 6.85/6.87 berbanding penutupan semalam pada 6.85/6.86.

Berbanding rupiah Indonesia, ringgit naik kepada 240.7/241.4 daripada 240.9/241.3, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1558/1644 daripada 3.1567/1613 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9852/13.0267 daripada 12.9961/13.0195 sebelum ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan