POLITIK

PEKAN BAHARU UBAH WAJAH KINABATANGAN, PACU EKONOMI DAN KESEJAHTERAAN PENDUDUK

13/01/2026 10:13 AM

Oleh Rohana Nasrah

KINABATANGAN, 13 Jan (Bernama) -- Kinabatangan bukan sekadar nama dalam peta Sabah, sebaliknya destinasi menggamit pengunjung dengan menawarkan kehijauan hutan tropika, panorama alam semula jadi, keindahan biodiversiti serta keunikan budaya penduduk tempatan yang majoritinya suku kaum Orang Sungai.

Terletak di timur Sabah, kira-kira 306 kilometer (km) atau mengambil masa lebih kurang lima jam perjalanan dari Kota Kinabalu, Kinabatangan turut terkenal sebagai pusat konservasi, penyelidikan serta pintu masuk untuk para pelancong domestik dan antarabangsa.

Selain sinonim dengan tanaman eksotik durian merah, daerah itu turut menyimpan pelbagai ekosistem flora dan fauna serta khazanah hidupan liar berharga seperti gajah Borneo, monyet Proboscis dan orang utan di sepanjang Sungai Kinabatangan, sungai kedua terpanjang di Malaysia.

Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, Parlimen Kinabatangan mempunyai keluasan sekitar 18,068km persegi, merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Lamag dan Sukau, dengan merekodkan sebanyak 216,087 orang penduduk.

Pekan baharu di DUN Lamag yang lengkap dengan bangunan komersial moden, bukan sahaja menampilkan wajah baharu Kinabatangan tetapi juga merangsang pertumbuhan aktiviti perniagaan yang pesat, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk selain membuka banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Pegawai Daerah Kinabatangan Suhaimie Ejip berkata kebanyakkan penduduk di daerah itu mengusahakan ladang kelapa sawit, pertanian sara diri, tanaman kontan, perniagaan, pelancongan, selain sebahagian lagi bekerja sebagai nelayan serta sektor perkhidmatan awam dan swasta.

Beliau berkata Kinabatangan mempunyai prospek ekonomi besar, justeru tidak wajar dinilai berdasarkan persepsi luaran semata, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh dari sudut potensi sebenar yang dimiliki daerah berkenaan.

Suhaimie berkata daerah itu turut memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah, khususnya melalui tanaman kelapa sawit dan sektor pelancongan.

“Saya melihat Kinabatangan sebagai kawasan ‘emas hijau’ kerana kekayaan hasil buminya, selain hampir 80 peratus kawasan daerah ini didominasi ladang kelapa sawit,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini baru-baru ini.

Pekan Kinabatangan lengkap dengan pelbagai prasarana termasuk hospital, klinik kesihatan, sekolah, perpustakaan, mahkamah dan pusat Internet, iaitu Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), selain kemudahan perbankan, perkhidmatan pos, pasar awam serta pembinaan baharu dewan serba guna.

Suhaimie berkata meskipun pelbagai kemudahan asas telah tersedia, Kinabatangan masih dahagakan pembangunan yang lebih bermakna, terutama infrastruktur jalan raya berkualiti agar aktiviti ekonomi penduduk terus berkembang selain memastikan ia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan daerah lain di Sabah.

Beliau berkata pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang turut melibatkan Kinabatangan, diyakini mampu menyediakan jaringan jalan raya yang lebih efisien, membuka laluan kepada pembangunan yang lebih pesat dan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk setempat tetapi seluruh rakyat Sabah.

Ini kerana jalan raya di Kinabatangan adalah jaringan penghubung utama antara kawasan pantai barat dan pantai timur Sabah, justeru perhatian serius perlu diberikan bagi memastikan prasarana rakyat ini dapat disiapkan dengan sempurna.

“Apabila jaringan jalan raya berada dalam keadaan baik, ia akan melancarkan segala aktiviti ekonomi, khususnya memudahkan penduduk membawa hasil pertanian mereka dan para pelancong yang datang ke sini juga akan rasa lebih selamat,” katanya.

Sementara itu, pemandu pelancong setempat Zarin Sakirim, 33, berkata perkembangan Kinabatangan khususnya di DUN Lamag menunjukkan perubahan positif dalam tempoh 10 tahun ini, dengan pertambahan premis perniagaan baharu menjadikan kawasan itu lebih meriah dan hidup berbanding sebelum ini.

Zarin berkata satu lagi kawasan baharu dirancang untuk dibangunkan iaitu Bandar Seri Milian yang dijangka mampu mentransformasi wajah Kinabatangan dan pembangunan seumpama itu diyakini dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk.

Guru swasta Noor Hanisah Sikang Pong, 26, pula berpendapat perkembangan pesat di kawasan pekan baharu tidak hanya memberi banyak pilihan kepada rakyat Kinabatangan, malah lebih penting lagi ia memudahkan urusan harian penduduk memperoleh keperluan tanpa perlu ke bandar terhampir iaitu Sandakan mahupun Lahad Datu, yang masing-masing terletak kira-kira 85km dan 100km.

Noor Hanisah berharap wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag nanti akan dapat memastikan prasarana jalan raya diberi perhatian khusus kerana ia penting untuk menjimatkan masa perjalanan, memudahkan urusan ekonomi serta menjamin keselamatan penduduk.

“Harapan saya kepada wakil rakyat yang bakal dipilih nanti dapat membawa perubahan agar Kinabatangan berwajah baharu, banyak pembangunan, ekonomi juga maju dan paling penting telus dalam berkhidmat dan boleh mendengar suara rakyat supaya tiada yang tercicir,” katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala pertandingan satu lawan satu di DUN Lamag antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mempunyai 48,722 pemilih berdaftar merangkumi 48,526 pengundi biasa dan 196 polis serta pasangan sebagai pengundi awal.

Sebanyak 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran dan satu pusat mengundi awal dengan satu saluran akan digunakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan pada 24 Jan manakala pengundian awal pada 20 Jan ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan