KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap sebahagian umat Islam yang disifatkan seolah-olah kehilangan kompas kehidupan, terperangkap dalam gelombang kebendaan, gilakan jawatan dan mabuk dengan kuasa.
Baginda bertitah kekayaan material bagaikan akidah baharu yang menjadi pegangan sebahagian umat Islam, sehingga mendorong mereka berlumba dan bersaing secara tidak sihat, melakukan perkara bercanggah dengan etika, menghakis sifat keinsanan serta mengorbankan integriti demi mengejar kebendaan.
Sultan Nazrin yang juga Pengerusi Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) bertitah kerakusan mendapatkan jawatan dan kuasa, turut menyaksikan wujud budaya sogokan bagi meraih sokongan serta budaya fitnah untuk menjatuhkan pihak lain, sehingga menjelmakan kembali sikap jahiliah yang memesongkan ketaatan manusia daripada kuasa Ilahi.
“Jawatan dan kuasa adalah ujian terhadap tingkat keimanan dan ketakwaan seseorang insan dan jika tidak dikembari dengan iman dan takwa, ia boleh menjejaskan ketauhidan serta mengalih ketaatan daripada perintah Allah SWT kepada arahan manusia.
“Firman Allah SWT dalam ayat 51 dan 52, surah An-Nahl sewajibnya dijadikan kompas panduan ketika mengharungi lautan kehidupan. Insaflah! jawatan dan kuasa merupakan anugerah dan ujian daripada Ilahi,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) Ke-74, di sini hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir bersama-sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan timbalannya Marhamah Rosli, serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Sultan Nazrin bertitah institusi Islam tidak terkecuali menerima tempias persepsi negatif sekiranya berlaku kelemahan pengurusan atau ketiadaan integriti dalam kalangan insan yang diamanahkan memimpin serta mengurus institusi tersebut.
Baginda bertitah institusi Islam yang membuktikan kecemerlangan dan berintegriti bukan sahaja membantu ummah untuk lebih maju, malah berupaya memperbetulkan persepsi negatif terhadap Islam, di samping mengembangkan syiar Islam serta membina imej dan pandangan positif terhadap agama.
Justeru, baginda menegaskan mereka yang dipilih dan diamanahkan untuk memimpin serta mengurus institusi Islam hendaklah memiliki integriti yang tidak boleh diragukan, di samping berfikiran proaktif, mencetuskan idea inovatif, memperkenalkan gerak kerja dinamik serta berani berhijrah menyeberangi sempadan baharu dan meneroka wilayah baharu.
Selain itu, dalam keadaan masyarakat semakin terperangkap dengan budaya mengejar pencapaian lahiriah sehingga sanggup mengorbankan kebersihan jiwa, adab, akhlak serta tanggungjawab fardu ain dan fardu kifayah, Sultan Nazrin bertitah sifat berani mempertahankan kebenaran wajib disemai dan dididik sejak awal kehidupan.
Baginda menegaskan Islam mementingkan pendidikan yang mengutamakan pembinan kekuatan dalaman, melahirkan insan seimbang dan holistik yang berkembang secara menyeluruh daripada aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani, bukan sekadar mengejar pencapaian akademik tanpa arah hidup dan nilai insani yang betul.
“Roh dan matlamat suci pendidikan perlu diutamakan, khususnya dalam usaha membantu meletakkan negara di landasan yang betul ke arah kesejahteraan serta memperoleh keampunan Ilahi.
“Ahli-ahli MKI yang mewakili pelbagai konstituen dalam majlis syura ini, wajib mencapai kata dan usaha sepakat memberikan tumpuan terhadap agenda pendidikan ummah, mengutamakan usaha mengasuh dan membimbing ummah untuk menjadi Muslim sejati,” titah baginda.
-- BERNAMA
