JENAYAH & MAHKAMAH

PERUNDING HARTANAH RUGI RM622,161 TERPERDAYA PELABURAN TIDAK WUJUD DI WHATSAPP

13/01/2026 12:13 PM

KUANTAN, 13 Jan (Bernama) -- Seorang perunding hartanah warga emas kerugian RM622,161 selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang dipromosikan menerusi aplikasi WhatsApp bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 71 tahun itu diperdaya suspek pada 16 Okt 2025 melalui tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan hingga 50 peratus bagi setiap pelaburan.

“Mangsa kemudian ditawarkan untuk menyertai pelaburan dikenali sebagai JMC M Trading Venture dan diminta memuat turun satu aplikasi menerusi pautan yang diberikan suspek,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa membuat 16 transaksi pemindahan wang ke empat akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM622,161 menggunakan wang simpanan peribadi antara 27 Okt hingga 27 Dis 2025.

Yahaya berkata mangsa telah menerima pulangan awal berjumlah RM140,889 namun wang itu telah dilaburkan semula atas arahan suspek.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas diminta menambah modal pelaburan sebanyak RM1 juta kononnya bagi membolehkan semua keuntungan dikeluarkan,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dan masyarakat juga diingatkan supaya menyemak nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan