EKONOMI

SEKTOR PENJAGAAN KESIHATAN DI MALAYSA PERLUAS OPERASI PADA 2026 - HLIB

13/01/2026 01:40 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Sektor penjagaan kesihatan di Malaysia dijangka memperluaskan operasi selain daripada perkhidmatan hospital pada 2026 susulan beberapa penyenaraian beberapa penjagaan kesihatan mega yang dijangka dilakukan tahun ini, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

HLIB dalam satu nota penyelidikan berkata ia melihat sektor berkenaan berada pada kedudukan strategik yang baik untuk memanfaatkan silver economy megatrend terutamanya populasi warga emas Malaysia, selain daripada pemangkin penarafan semula diterajui oleh tawaran permulaan awam (IPO).

Silver economy megatrend bermaksud ekonomi masa depan akan didorong oleh keperluan warga emas, justeru itu sektor penjagaan kesihatan dilihat akan mengembangkan operasi untuk memberi perkhidmatan terhadap golongan tersebut.

"Dengan senarai penyenaraian penjagaan kesihatan semakin banyak ketika ini, kami percaya bahawa keterlihatan langkah IPO ini boleh memangkinkan penarafan semula lebih meluas merentasi sektor penjagaan kesihatan pada 2026 dengan segmen hospital kekal sebagai penerima manfaat utama dengan syarat IPO diterima baik oleh pelabur.

"Kami melihat penarafan semula ini menjadi kenyataan melalui tiga sudut utama, iaitu penanda aras penilaian dan aliran modal serta perubahan naratif dan persepsi," katanya.

Dilaporkan bahawa Sunway Healthcare Holdings (SHH) disasarkan untuk disenaraikan menjelang Mac 2026, manakala Asia OneHealthcare merancang melancarkan IPO sebelum akhir 2026 dengan kedua-dua penilaian permodalan pasaran sekurang-kurangnya RM16 bilion.

Selain hospital, Big Caring Group dilaporkan sedang meneroka IPO 2026 sehingga RM20 bilion, manakala Qualitas Health Group juga melakukan penyenaraian di Malaysia, bagaimanapun ketetapan tarikh dan nilai pasaran bagi kedua-dua rancangan ini masih belum dapat dipastikan.

Tawaran itu boleh mengumpul sekurang-kurangnya RM3-4 bilion, menunjukkan permodalan pasaran yang bermakna.

Selain itu, dengan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026, Malaysia menetapkan sasaran untuk mencapai RM12 bilion hasil daripada penjagaan kesihatan menjelang 2030.

"Pelancaran MYMT 2026 ini telah dirancang dengan strategik, bertepatan dengan beberapa perkembangan serantau dan struktur yang menyokong seperti Tahun Melawat Malaysia 2026, peralihan Singapura ke arah rawatan khusus dan kompleks yang semakin meningkat serta gangguan jangka pendek dalam sektor pelancongan Thailand," kata HLIB.

Sehubungan itu, HLIB telah mengekalkan saranan "Overweight" terhadap sektor itu untuk 2026 dengan IHH sebagai pilihan utamanya, diikuti KPJ.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan