AM

TITI GANTUNG LATA REK RUNTUH: KERAJAAN AKAN BINA JAMBATAN BESI

13/01/2026 03:51 PM

KOTA BHARU, 13 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan membina jambatan besi bagi menggantikan titi gantung yang runtuh di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai baru-baru ini.

Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Kelantan Jasri Kasim berkata pembinaan jambatan besi itu telah diputuskan ketika mesyuarat yang diadakan minggu lepas dan dijangka siap pada penghujung Februari ini.

"Kita akan mulakan kerja pembinaan jambatan besi ini pada minggu depan dan jangka siap sebelum Ramadan.

“Kos pembinaan bagi jambatan besi sepanjang 50 meter dan lebar tiga meter ini dianggarkan kurang daripada RM400,000," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Jasri berkata buat sementara ini penduduk akan menggunakan titi gantung yang dibaik pulih dan tiada isu terputus bekalan makanan dilaporkan oleh penduduk setakat ini.

Pada 1 Jan lepas, tular di media sosial suasana meriah majlis perkahwinan bertukar cemas apabila titi gantung dilalui tetamu tiba-tiba runtuh hingga menyebabkan beberapa orang terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek.

Susulan kejadian itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan peruntukan disediakan bagi menggantikan segera titi gantung itu yang runtuh hingga menyebabkan orang awam cedera serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar.

Pengumuman Perdana Menteri itu mendapat perhatian Kerajaan Negeri Kelantan, yang merakamkan penghargaan kepada Anwar dan mengarahkan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai  menyelaras segala urusan berkaitan bersama ICU JPM serta agensi terlibat bagi memastikan kerja itu disegerakan dan dilaksanakan secara teratur.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan