KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Anak-anak kecil kebiasaannya kerap mengalami batuk, ruam atau demam ringan sehingga mengganggu rutin harian dan persekolahan mereka, menyebabkan ibu bapa diselubungi perasaan bimbang dan mengganggu soal kerja kerana perlu menjaga anak-anak yang kurang sihat.
Pakar Pediatrik dan Penyakit Berjangkit Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Ch’ng Tong Wei berkata hakikatnya kanak-kanak, khususnya yang baru memasuki prasekolah, memang sering mudah jatuh sakit iaitu antara lapan hingga 12 kali setahun kerana sistem imuniti mereka yang lemah.
“Sistem imun mereka ibarat sehelai kertas kosong. Lama-kelamaan, imuniti mereka semakin kuat kerana setiap jangkitan membantu dalam penghasilan antibodi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pusat perubatan itu hari ini.
Dr Ch’ng berkata bagaimanapun pendedahan kepada pelbagai jangkitan pada usia awal dapat membantu mematangkan sistem imun, menyebabkan kanak-kanak yang lebih berusia dan orang dewasa kurang dijangkiti penyakit.
Beliau berkata dalam keadaan iklim tropika Malaysia, antara jangkitan yang lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak ialah influenza A dan B; jangkitan virus sinsitium pernafasan (RSV) dan adenovirus; penyakit tangan, kaki, dan mulut (HFMD), gastroenteritis, denggi, serta penyakit seperti cacar air dan campak, khususnya apabila kadar vaksinasi rendah.
Bagaimanapun, katanya kebanyakan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak yang sihat adalah ringan dan akan sembuh dengan sendiri.
Pada masa sama, beliau menasihati ibu bapa supaya lebih peka terhadap tanda amaran seperti demam berpanjangan melebihi tiga hari, kesukaran bernafas, mengantuk luar biasa, muntah atau cirit-birit berterusan, serta ruam yang merebak dengan cepat, kerana ia mungkin menandakan sesuatu yang lebih serius.
Mengulas tentang gangguan imun, Dr Ch’ng berkata masalah berkenaan jarang berlaku, namun boleh menyebabkan jangkitan yang lebih teruk atau berpanjangan.
“Kanak-kanak dengan imunodefisiensi sering jatuh sakit dan mengalami jangkitan yang teruk. Mereka mungkin memerlukan kemasukan ke hospital yang kerap atau mengalami jangkitan virus atau fungal yang berulang. Pertumbuhan atau penambahan berat badan yang lemah juga boleh menjadi tanda,” katanya.
Beliau berkata lazimnya keupayaan kanak-kanak untuk melawan jangkitan dipengaruhi oleh gabungan beberapa faktor termasuk genetik, persekitaran, amalan gaya hidup dan langkah-langkah pencegahan, namun sesetengah golongan ini secara semula jadi lebih kerap sakit disebabkan oleh keadaan seperti asma, ekzema, atau alahan.
“Ibu bapa boleh menguatkan imuniti melalui amalan sihat seperti tidur yang mencukupi, senaman berkala dan bermain di luar, diet seimbang dan rendah gula, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi, suplemen vitamin D serta penjagaan kebersihan tangan.
“Tidak perlu mengambil suplemen yang mahal. Kebanyakan kanak-kanak boleh mendapatkan apa yang mereka perlukan daripada diet seimbang, tidur yang mencukupi dan rutin yang sihat,” katanya.
Pada masa sama, penjagaan kesihatan termasuk amalan kebersihan juga penting untuk memastikan anak-anak kekal sihat dan amalan seperti mencuci tangan, memakai pelitup muka, serta mengelak tempat sesak mampu mengurangkan jangkitan seperti yang dilakukan semasa pandemik COVID-19.
Beliau berkata selain itu vaksinasi masih merupakan antara kaedah yang paling berkesan dan vaksin rutin terbukti mengurangkan secara drastik penyakit seperti campak dan pertusis, manakala vaksin tambahan (rotavirus, hepatitis A, cacar air) menawarkan perlindungan tambahan.
Dr Ch’ng turut mengingatkan ibu bapa supaya memastikan pemeriksaan kesihatan berkala dilakukan bagi memantau tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.
“Jangan tunggu anak sakit baru buat janji temu dengan doktor. Pemantauan tumbesaran, vaksinasi dan saringan perkembangan membantu memastikan anak-anak mencapai pertumbuhan yang sihat, sasaran fizikal, dan kesejahteraan menyeluruh,” katanya.
-- BERNAMA
