KOTA BHARU, 14 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 28 pendatang tanpa izin dalam operasi dua hari di tiga jajahan iaitu Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai, yang berakhir semalam.
Timbalan Pengarah JIM (Pengurusan) Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata operasi itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan Unit Aduan, Risikan dan Operasi JIM Kelantan, melibatkan 15 pegawai.
“Operasi bermula 10 pagi Isnin lepas memeriksa tujuh premis termasuk tapak pembinaan, kilang perabot, rumah kongsi dan kediaman persendirian. Seramai 95 individu diperiksa, dan 28 pendatang tanpa izin ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Daripada tangkapan itu, 26 adalah lelaki dan dua wanita, membabitkan warga Bangladesh, Pakistan dan Thailand.
Beliau berkata sebahagian individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas sah, malah ada yang disyaki menyalahgunakan pas dimiliki.
“Antara lokasi diperiksa termasuk tapak pembinaan rumah di Cherang Ruku dan Tok Bali (Pasir Puteh), kilang perabot di Bachok, rumah kongsi projek di Laloh, serta beberapa kediaman di Kuala Krai,” katanya.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan berkaitan..
-- BERNAMA
