Daripada Fatin Umairah Abdul Hamid
BANGKOK, 14 Jan (Bernama) -- Malaysia dilihat antara pasaran pertumbuhan utama Ant International di Asia Tenggara, disokong oleh penerimagunaan pembayaran digital yang pesat, pertumbuhan transaksi rentas sempadan yang kukuh dan kerjasama erat dengan rakan kongsi tempatan, kata penyedia perkhidmatan pembayaran dan kewangan digital yang beribu pejabat di Singapura, Ant International.
Presidennya Douglas Feagin berkata syarikat itu telah bekerjasama rapat dengan rakan kongsi ekosistemnya di Malaysia untuk melancarkan penyelesaian pembayaran digital dengan pantas dan berkesan, meletakkan negara ini sebagai pasaran yang menonjol di rantau ini.
“Malaysia adalah negara yang telah menerima pakai pembayaran digital dan bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk kami, untuk melaksanakan penyelesaian kami dengan kaedah yang pantas dan berkesan,” katanya semasa sesi soal jawab bersama media selepas taklimat media Ant International.
Menerusi gerbang dompet globalnya, Alipay+, Feagin berkata platform itu telah merekodkan pertumbuhan yang ketara di Malaysia, didorong oleh kerjasama dengan e-dompet tempatan dan bank digital, dan transaksi yang berasal dari negara ini adalah antara yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara.
Beliau berkata pertumbuhan itu sebahagian besarnya didorong oleh aliran perjalanan yang kukuh, dengan menyaksikan rakyat Malaysia kerap melancong ke destinasi seperti China, Jepun dan bahagian lain di Asia Tenggara yang menerima Alipay+ secara meluas.
Feagin turut menekankan kepentingan Malaysia kepada perniagaan Ant International dan menyifatkannya sebagai pasaran utama untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan perusahaan dan memperluas penyelesaian digital untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata Malaysia akan menjadi antara pasaran pertama yang melancarkan EPOS360, penyelesaian digital PKS baharu Ant International.
“Kami mendapati Malaysia merupakan negara yang mempunyai PKS yang celik digital dan cenderung kepada digital, dan kami menjangka pertumbuhan yang kukuh dalam segmen itu,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pengembangan Ant International di Malaysia, Feagin berkata pusat perniagaan digital global terbaru syarikat itu di Tun Razak Exchange (TRX) yang memulakan operasi pada suku pertama 2025, mengambil ratusan pekerja meliputi pelbagai bidang termasuk teknologi, kecerdasan buatan, pemasaran dan operasi perniagaan.
“Kami sedang membangunkan tenaga kerja yang pelbagai dan berkebolehan tinggi di Malaysia, disokong oleh pengambilan pekerja yang berterusan dan pembangunan bakat global, dan kami menyifatkannya sebagai pilihan tepat untuk kami, yang diharapkan untuk terus berkembang,” katanya.
-- BERNAMA
