AM

HARI KESELAMATAN INTERNET 2026 PLATFORM PROMOSI PENGGUNAAN TEKNOLOGI, AI SECARA SELAMAT

14/01/2026 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 pada 8 Feb depan akan memberi tumpuan terhadap usaha mempromosikan penggunaan Internet dan kecerdasan buatan (AI) secara selamat, bertanggungjawab dan beretika.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan acara komuniti berskala besar yang menghimpunkan pendidikan keselamatan digital, teknologi pintar serta hiburan mesra keluarga itu akan berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Menurut MCMC, penganjuran acara sempena Hari Keselamatan Internet Antarabangsa yang disambut setiap tahun di lebih 170 negara itu bertujuan mempromosi penggunaan Internet yang selamat, bertanggungjawab dan positif khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda. 

“Dengan tema ‘Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab’, program ini menekankan kepentingan membuat pilihan digital yang bijak dalam memanfaatkan teknologi dan AI, selari dengan keperluan semasa landskap digital yang semakin berkembang. 

“Fokus utama diberikan kepada kanak-kanak, remaja dan keluarga agar teknologi digunakan secara beretika, selamat dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang penganjuran, orang ramai juga bakal disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran interaktif keselamatan Internet, sesi bicara saku bersama pakar, aktiviti komuniti, demonstrasi teknologi pintar serta pelancaran rasmi Kempen Internet Selamat 2026.

Sambutan itu juga akan dimeriahkan dengan konsert mini artis tempatan untuk mendekati masyarakat pelbagai lapisan, sekali gus menyampaikan mesej keselamatan digital dalam suasana lebih mesra keluarga.

MCMC memaklumkan Hari Keselamatan Internet 2026 juga menyokong usaha pembentukan Masyarakat MADANI Digital, masyarakat yang berilmu, berdaya tahan, berdaya saing serta peka dan bertanggungjawab dalam persekitaran dalam talian.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 serta bersama-sama memainkan peranan dalam mewujudkan ekosistem Internet yang lebih selamat untuk semua.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan