JENAYAH & MAHKAMAH

WANITA DITEMUKAN MAUT BERSAMA SUAMI DISIFATKAN SEORANG CERIA, PERAMAH - RAKAN

14/01/2026 09:16 PM

SRI AMAN, 14 Jan (Bernama) -- Wanita yang ditemukan meninggal dunia bersama suaminya di sebuah rumah di Jalan Brayun di sini pagi tadi merupakan seorang yang ceria dan peramah.

Rakan sekerja mangsa, Awi Mahiden, 53, yang juga Jururawat Kanan di Hospital Sri Aman berkata wanita itu sering menghidupkan suasana di dalam wad dan pemergiannya amat dirasai rakan-rakan.

“Saya sangat terkejut kerana semalam kami masih bekerja dan minum bersama. Dia seorang yang ceria, lemah lembut dan suka membantu. Apabila dia tiada, suasana menjadi sunyi,” katanya yang ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sri Aman 2 di sini hari ini.

Seorang lagi rakan sekerja mangsa, Benedict Engkasan, 30, berkata wanita itu aktif dalam aktiviti menari selain seorang yang mudah mesra dan sering menyebarkan aura positif.

“Kami memang satu kumpulan menari, setiap kali aktiviti, dia sentiasa ceria, tersenyum dan menyapa semua orang. Walaupun tersalah langkah, dia tetap ketawa. Kejadian ini benar-benar mengejutkan,” katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata seorang guru besar sekolah rendah di Sri Aman dan isterinya ditemukan maut di Jalan Brayun di sini awal pagi tadi dengan kesan kecederaan serius di bahagian tubuh.

Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan pasangan berusia 45 dan 44 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan serius pada 6.55 pagi.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan