PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Aspek komunikasi kerajaan perlu dipertingkatkan agar semua inisiatif dilaksanakan difahami sepenuhnya rakyat, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata adalah penting untuk kementerian dan jabatan memastikan maklumat sampai dengan jelas dan mengurangkan penggunaan istilah formal atau “bahasa Putrajaya” (bahasa kerajaan) yang sukar difahami.
“Contohnya masa kita buat ulang tahun ketiga Kerajaan MADANI di Putrajaya (Disember lepas), kita telah buat bersemuka (soal selidik) dengan yang hadir. Jadi, 46 peratus kata dia tak sedar pun dengan inisiatif kerajaan walaupun tiga tahun kita dah buat.
“Maknanya itu menunjukkan bahawa komunikasi kita agak lemah. Jadi, tahun ini kita kena tingkatkan komunikasi kita. Dan satu lagi saya selalu katakan, kita kena kurangkan penggunaan bahasa Putrajaya,” katanya.
Terdahulu dalam amanat, Shamsul Azri berkata hala tuju perkhidmatan awam bertemakan ‘Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi’ menuntut keputusan pantas, proses yang dipermudah dan keupayaan menterjemahkan dasar kepada tindakan tanpa kelewatan tidak perlu.
“Memperhebat reformasi pula bererti memastikan usaha pembaharuan tidak terhenti pada perubahan prosedur semata-mata, tetapi benar-benar mengubah cara berfikir, cara bekerja dan cara kita berkhidmat.
Selain itu, beliau turut menetapkan agar pada tahun ini, 500 projek di bawah inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) harus diselesaikan.
“Untuk ini, saya minta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), sekretariat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) dan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) agar memantau pelaksanaannya,” katanya.
-- BERNAMA
