SIBURAN, 15 Jan (Bernama) -- Cadangan Kerajaan Negeri Sarawak agar Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) disusun semula wajar dipertimbangkan, sebagai penambahbaikan ke arah pengurusan dan pelaksanaan MA63 lebih berkesan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata secara prinsipnya, semua cadangan dikemukakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, adalah bersifat positif dan perlu diberi perhatian kerajaan Persekutuan.
“Pada saya ia (cadangan) sangat positif untuk kita pertimbangkan agar prosesnya lebih baik dan berkesan. Jadi cadangan seperti ini pastinya boleh kita pertimbang dan kita majukan, khasnya kita sudah ada seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri Sabah dan Sarawak (Datuk Mustapha Sakmud), jadi perkara ini boleh saya angkat kepada platform yang sepatutnya.
“Saya mengambil maklum cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Timbalan Premier Sarawak. Namun, Kerajaan Negeri Sarawak juga boleh mengangkat semua cadangan ini kepada urusetia induk MA63 di bawah Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) di Jabatan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Serian dan Klinik Kesihatan Siburan, di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly berkata demikian bagi mengulas cadangan Dr Sim baru-baru ini, supaya jawatankuasa MTPMA63 disusun semula bermula tahun ini dengan melibatkan secara langsung Menteri Kewangan, Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta agensi-agensi utama lain.
Dr Dzulkefly berkata cadangan sedemikian mempunyai asas yang munasabah, memandangkan isu-isu kesihatan yang dibangkitkan di bawah MA63 sering melibatkan pelbagai kementerian dan agensi sebelum sesuatu keputusan dapat dimuktamadkan.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya Dr Dzulkefly berkata Klinik Kesihatan Siburan yang dilancarkan, melibatkan kos pembangunan sekitar RM28.7 juta dan dijangka memberi liputan perkhidmatan kepada hampir 81,000 penduduk di kawasan sekitarnya.
Beliau berkata Klinik Kesihatan Serian pula, dijangka memberi manfaat kepada lebih 85,000 penduduk di daerah Serian dengan kos pembangunan sekitar RM23.9 juta.
“Kedua-dua klinik kesihatan yang dirasmikan hari ini, direka untuk berfungsi sebagai pusat sehenti dan mampu menampung sehingga 500 pesakit sehari, dan seterusnya dapat menguraikan kesesakan di hospital utama,” katanya.
-- BERNAMA
