AM

KESUMA, JOHOR PERKUKUH KERJASAMA PEMBANGUNAN BAKAT BELIA

15/01/2026 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kerajaan Negeri Johor bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan bakat dan kemahiran tenaga kerja, khususnya dalam kalangan belia.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan menerusi hantaran di Facebooknya berkata perkara itu dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersama delegasi, hari ini.

“Pertemuan ini memberi tumpuan kepada pengukuhan pembangunan bakat dan ekosistem kemahiran di Johor secara lebih tersusun dan berimpak, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta keperluan industri semasa dan masa depan,” katanya.

Menurutnya, perbincangan turut memberi fokus kepada pembentangan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), sokongan peruntukan RM20 juta oleh HRD Corp bagi latihan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja Johor, serta peluasan dana pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu kebolehpasaran pekerja.

Selain itu, Ramanan berkata penekanan diberikan kepada penyelarasan dasar antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan tenaga kerja, khususnya golongan belia Johor, lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan ekonomi.

Beliau menyifatkan kunjungan hormat Menteri Besar Johor itu sebagai cerminan komitmen berterusan Kerajaan MADANI melalui KESUMA dalam membangunkan modal insan secara inklusif, berfokus dan berimpak tinggi, sejajar dengan agenda pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan