BANGI, 15 Jan (Bernama) -- Amalan filantropi tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada sumbangan derma tradisional, sebaliknya harus digerakkan berasaskan data dan berorientasikan impak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata landskap kemanusiaan dan filantropi kini berdepan cabaran baharu yang memerlukan inovasi termasuk penerokaan instrumen kewangan hibrid serta kerjasama strategik antara sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Kita sudah tidak boleh lagi selesa dengan kerangka amalan lama. Kita perlu mengorak langkah untuk memprofesionalkan amalan kita dalam menolong orang lain.
“Kita perlu melihat bagaimana menggunakan instrumen kewangan ini untuk memberikan lebih manfaat kepada masyarakat. Derma boleh diteruskan, tetapi ia tidak mencukupi untuk memantapkan potensi sebenar filantropi yang ada di negara kita,” katanya.
Zulkifli berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) 2025 di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Abdul Khudus Mohd Naaim dan Ketua Pengarah YAPEIM Zabidi Nasan.
Zulkifli berkata amalan itu perlu bergerak seiring dengan perubahan global yang menuntut kecekapan, profesionalisme dan ketelusan dalam pengurusan dana awam, khususnya apabila melibatkan sumbangan orang ramai dan pihak korporat.
Sehubungan itu, setiap inisiatif kebajikan perlu digerakkan secara berasaskan data serta berorientasikan impak, dengan penilaian jelas terhadap keberkesanan bantuan disalurkan dan bukan sekadar bersifat simbolik atau berasaskan persepsi.
“Kita tidak boleh hanya sekadar memikirkan soal optik untuk menunjukkan derma kepada orang lain tetapi sebenarnya tiada impak,” katanya.
Zulkifli turut menegaskan kegagalan memastikan tadbir urus yang baik dan pengurusan berintegriti boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat walaupun sebuah organisasi yang lama terlibat dalam kerja kebajikan.
“Walaupun 100 tahun kita melakukan kebaikan, sekiranya ada isu kemungkaran atau tidak amanah sekali, maka runtuhlah segala keyakinan dan kepercayaan masyarakat,” katanya.
Pada majlis itu, Zulkifli menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan Sinar Lestari dan bantuan pendidikan YAPEIM serta menyampaikan sijil apresiasi kepada rakan strategik yang menyumbang kepada yayasan itu.
-- BERNAMA
