POLITIK

MESYUARAT KHAS MKT BINCANG USUL DIKEMUKA SAYAP PARTI - ASYRAF WAJDI

15/01/2026 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini menerima dan mendengar laporan daripada wakil-wakil MKT ke Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu yang berlangsung siang tadi.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata segala usul yang dibangkitkan perwakilan ketiga-tiga sayap berkenaan turut dibincangkan pada mesyuarat khas tersebut.

“Satu lagi agenda yang penting adalah kita bincangkan tentang usul ucapan dasar Presiden UMNO yang akan dibentangkan esok,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan di ibu pejabat parti itu di sini malam ini.

Terdahulu mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri pemimpin kanan parti itu termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ahmad Zahid dijadual menyampaikan ucapan dasar Presiden esok.

Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung dari 14 hingga 17 Jan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Sebanyak 6,412 perwakilan dari seluruh negara telah mendaftar melibatkan 2,928 orang bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025, Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita (1,165 orang), Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda (1,173 orang) dan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri (1,146 orang).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan