PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerajui pendekatan pelaburan berbalik mulai tahun ini sebagai langkah strategik bagi melindungi dan menjamin bekalan komoditi makanan kritikal negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan tidak boleh bergerak secara reaktif dan bersifat jangka pendek sebaliknya perlu melaksanakan langkah mitigasi yang lebih strategik bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan makanan negara.
“Pendekatan ini akan memberi tumpuan kepada industri utama, iaitu ruminan (lembu), beras, susu serta benih dan baka, yang dikenal pasti sebagai komponen penting dalam rantaian makanan negara dan tidak boleh terdedah kepada gangguan bekalan global.
"Sehubungan dengan itu, bagi tahun ini KPKM akan menerajui pendekatan pelaburan berbalik untuk melindungi dan menjamin bekalan komoditi makanan kritikal negara,” katanya ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2026 KPKM, di sini hari ini.
Pendekatan pelaburan berbalik dalam sektor pertanian merujuk kepada pelaburan langsung kerajaan atau swasta pada peringkat pengeluaran makanan, termasuk tanah, teknologi dan benih bagi mengurangkan kebergantungan import, serta memastikan bekalan makanan negara lebih stabil, terjamin dan mampan walaupun berlaku gangguan pasaran atau perubahan iklim.
Bagi memperkasakan langkah itu, Mohamad berkata KPKM mengalu-alukan pembabitan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan sebagai rakan strategik bagi membina pegangan nasional dalam rantaian bekalan kritikal berkenaan.
“Pembabitan sektor ini amat penting bagi membina pegangan nasional dalam rantaian bekalan kritikal, memperkukuh kedaulatan makanan negara, serta memastikan daya tahan sistem makanan Malaysia dapat dipertahankan dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan pelaburan berbalik bukan bertujuan menggantikan peranan petani tempatan, sebaliknya bertindak sebagai penampan strategik bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan apabila berlaku situasi luar jangka termasuk bencana alam.
“Pelaburan berbalik ini berfungsi sebagai 'strategic buffer' bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan ketika berlakunya kejutan luar jangka, dengan setiap pelaburan akan dilaksanakan secara berfasa, berhemah dan berpaksikan kepentingan nasional,” katanya.
Beliau berkata KPKM turut memberi penekanan kepada pemerkasaan pelaburan domestik sebagai pelengkap utama bagi meningkatkan kapasiti serta daya saing sektor agromakanan negara.
Lima fokus strategik yang dikenal pasti, merangkumi pembangunan industri akuakultur, pemanfaatan Sistem Maklumat Geografi pada peringkat pengeluaran, pengeluaran jagung bijian, peningkatan tanaman nanas serta pembangunan pengeluaran benih dan baka dalam negara.
“Pelaburan domestik dalam lima bidang keutamaan ini amat penting bagi memperkukuh keupayaan pengeluaran tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar serta membina sektor agromakanan negara yang lebih berdaya tahan dan mampan dalam jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media, Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak berkata pelaburan berbalik berperanan sebagai langkah persediaan negara sekiranya berlaku sebarang masalah atau bencana.
“Persediaan kalau berlaku apa-apa malapetaka, kita ada buat (pelaburan berbalik) contohnya penanaman padi di luar negara dan kita akan ada bekalan jika berlaku malapetaka. Kita boleh mengimport melalui syarikat Malaysia yang membuat penanaman di luar negara dan mengimportnya kembali (ke dalam negara)," katanya.
-- BERNAMA
